Pertukaran KSP perubahan biasa - Anwar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pertukaran melibatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon adalah perubahan biasa membabitkan kakitangan awam.
Menurutnya, pertukaran dilakukan apabila membabitkan kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.
"Wewenang (hak dan kuasa) perbincangan diputuskan oleh penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 27 Timbalan Menteri yang akan membarisi kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Asri yang dilaporkan sudah dicutikan sejak Selasa lalu.
Kedudukannya sebagai KSP mula menjadi tanda tanya apabila tidak kelihatan sewaktu majlis sambutan hari pertama Anwar di Kementerian Kewangan pada Selasa.
Anwar juga ada menyentuh tentang perbincangan mengenai kedudukan penasihat khas kewangan negara dengan KSP baharu pada sidang akhbarnya selepas itu.
Sementara itu, Anwar menjelaskan, kedudukan pegawai tertinggi di beberapa kementerian termasuk Ketua Setiausaha yang kini digabungkan menjadi satu akan dikendalikan Mohd Zuki.
"Urusan pentadbiran KSN akan kendalikan dan uruskan dengan sewajarnya," ujar beliau.
Dua kementerian yang digabungkan di bawah kabinet Anwar adalah Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang kini dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!