Perbuatan hina raja tak boleh dipandang enteng
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Perbuatan menghina institusi raja sejak akhir-akhir ini tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya tindakan mengikut undang-undang perlu segera diambil bagi mengatasinya.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan.
Titah baginda, ini kerana sistem perlembagaan meletakkan raja sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam.
“Saya berasa amat terkesan terhadap penghinaan kepada institusi raja yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
"Sesungguhnya penghinaan sebegini tidak boleh dipandang enteng dan wajar diambil tindakan mengikut undang-undang dalam memastikan martabat institusi raja dihormati oleh semua pihak," titah baginda pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tengku Hassanal bertitah, penularan anasir negatif dalam kalangan rakyat beragama Islam seperti pemahaman Islam liberal dan penerimaan terhadap golongan kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) amat membimbangkan pada masa kini.
Baginda turut bertitah, semua pihak termasuk ibu bapa perlu membanteras gejala ini daripada terus berleluasa dan meracuni minda umat Islam.
Titah baginda, konsep amar makruh nahi mungkar adalah tuntutan ajaran Islam sebagai asas bagi menjadikan negeri ini terus makmur dan sejahtera.
Dalam pada itu,Tengku Hassanal mengingatkan bahawa agama Islam adalah agama persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai.
“Justeru, kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaan dan setiap orang mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya serta setiap agama ada hak untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri.
“Saya berharap perbezaan fahaman politik tidak menjadi percaturan dalam memelihara kesucian agama Islam. Malah perlu memastikan agama Islam ini tidak dipermainkan sehingga sensitiviti Islam tidak dipedulikan oleh sesetengah pihaknya sehingga boleh mencetuskan perbalahan dalam kalangan ummah,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!