Tiga beradik kongsi pentas graduasi
GEORGETOWN - Pengorbanan seorang ibu yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menguruskan keluarga terbalas apabila tiga anak perempuannya tamat pengajian serentak pada Istiadat Konvokesyen ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jumaat.
Kegembiraan Rosilah Mohamed Esahak, 49, itu tergambar pada raut wajahnya apabila tiga puterinya, Nurulnaim Azizan, 21, Najihah Azizan, 25, dan Nadhirah Azizan, 20, berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang masing-masing pada Rabu dan Jumaat.
Menurut isteri kepada Azizan Osman itu berkata, ketegasan dalam mendidik anak-anaknya berbaloi apabila ketiga-tiganya kini memperoleh diploma dan ijazah sarjana muda di universiti yang sama.
"Sebelum ini, saya bekerja sebagai akauntan di sebuah bank namun selepas berkahwin, saya berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuhnya kepada keluarga dan anak-anak. Saya akui, terpaksa berkorban kerjaya saya untuk memastikan anak-anak saya tidak terabai.
"Syukur apabila pengorbanan saya selama ini sebagai isteri dan ibu terbalas selepas tiga anak saya berkongsi pentas graduasi yang sama.
"Perasaan saya tidak dapat digambarkan apabila tengok anak-anak berjaya hasil daripada didikan saya dan suami," katanya.
Berkongsi mengenai caranya mendidik anak, Rosilah berkata, dia amat tegas dalam semua aspek terutamanya dari segi pemakanan dan cara menguruskan masa belajar.
"Saya sangat mengutamakan pemakanan anak-anak. Saya tidak membenarkan mereka makan makanan ringan, mengandungi pewarna tiruan, pengawet, makanan berproses dan makanan yang tidak berkhasiat. Sebab itu, makanan mereka saya yang sediakan. Setiap hari mereka bawa bekal ke sekolah.
"Dari segi pembelajaran, saya akan pastikan mereka tidur dengan cukup selain waktu belajar yang tersusun. Pengurusan masa amat penting terutamanya ketika mereka dibangku sekolah.
"Saya mendisiplinkan mereka dari kecil dengan menyusun jadual untuk diikuti," katanya.
Selain itu, kata ibu tiga anak ini, dia turut menerapkan budaya menabung sejak anak-anaknya kecil demi masa depan mereka.
Sementara itu, Nadhirah memperoleh diploma dalam bidang Teknologi Makmal, Najihah memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Pendidikan Biologi manakala Nurulnaim mendapat diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Menurut Najihah, pengalaman berkongsi pentas dalam sidang konvokesyen berbeza dengan dua adiknya merupakan detik manis yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.
"Kami beruntung kerana berpeluang graduasi bersama dalam Konvokesyen UPSI ke 100 tahun yang mana, pihak universiti menggabungkan junior dan senior untuk konvokesyen pada tahun ini. Walaupun berbeza sidang, namun waktu graduasi kami sama.
"Saya gembira apabila dapat berkongsi pentas dengan adik-adik dan tidak sangka, keakraban kami sejak dari kecil membawa kejayaan pada hari ini," katanya.
Nurulnaim pula berkata, mereka tiga beradik amat bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang sangat mengambil berat tentang pelajaran bagi memastikan mereka berjaya mencapai cita-cita masing-masing.
"Saya amat bersyukur kerana ibu menjaga kami dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Ibu berkorban untuk kami dan ini adalah hadiah kepada ibu dan bapa.
"Walaupun pengorbanan ibu tidak terbalas, tetapi kejayaan ini membuktikan pengorbanan ibu selama ini berbaloi. Kami tidak mahu sia-siakan pengorbanan ibu apabila terpaksa memadam cita-citanya dan kerjayanya demi masa depan kami.
"Saya, kakak dan adik amat bersyukur mempunyai ibu dan bapa yang sangat bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!