'Tolong kami meriahkan Bazar Buluh Kubu'

Nik Rosmawati menunjukkan produk asli songket dan batik di Bazar Buluh Kubu. (Gambar kecil: Mohd Ilman)
Nik Rosmawati menunjukkan produk asli songket dan batik di Bazar Buluh Kubu. (Gambar kecil: Mohd Ilman)
A
A
A

KOTA BHARU - Bazar Buluh Kubu di bandar ini yang pernah menjadi ikon sebagai lokasi yang menempatkan pelbagai jenis kraf tradisi di Kelantan semakin sunyi dan tidak semeriah dulu.

Lebih 30 kedai kini kosong dan sebahagian peniaga lagi terpaksa bergelut untuk mendapatkan pelanggan yang semakin berkurang akibat peredaran zaman.

Pengerusi Persatuan Kraf Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff yang mewakili peniaga bazar itu berkata, kebanyakan kedai kosong di tingkat dua dan tiada aktiviti di tingkat tiga selepas kedai makan ditutup.

"Situasi suram ini berlaku sejak lebih lima tahun lalu tetapi keadaan bertambah serius selepas pandemik Covid-19 yang memaksa ramai peniaga gulung tikar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau memberitahu, Bazar Buluh Kubu yang dibuka pada tahun 1980 itu juga pernah menjadi tumpuan pencinta batik Kelantan tetapi sunyi daripada kedatangan mereka.

Menurut Nik Rosmawati, ramai juga peniaga yang mengambil inisiatif sendiri dengan mencari peluang di lokasi lain yang lebih sesuai.

"Ramai yang bersuara pendapatan mereka merudum sehingga 50 peratus selepas Covid-19.

"Mereka kini cuba bangkit semula dengan berniaga secara atas talian menggunakan pelbagai media sosial untuk menarik pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keadaan lebih meriah jika pelanggan datang dan menjenguk produk kraf tradisional terutama batik yang ditawarkan di bazar itu.

Selain itu katanya, kekurangan pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke bazar itu turut menjadikan peniaga lain bimbang untuk menyewa kedai di bazar itu.

Jelas Nik Rosmawati lagi, kebanyakan lot kedai yang dikosongkan peniaga tidak ada ganti peniaga lain kerana tiada keyakinan boleh meneruskan perniagaan

Justeru, persatuan itu mencadangkan pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dapat mempromosikan secara aktif bazar berkenaan.

"Tolong kami lakukam sesuatu dan jangan biarkan bazar yang pernah terkenal di seluruh negara suatu masa dulu berkubur begitu sahaja.

"Kami juga boleh bekerjasama dengan Tourism Kelantan dan Kraftangan Kelantan untuk 'menaikkan' kembali bazar ini dan membantu memperkenalkan semula produk di sini," katanya.

Nik Rosmawati memberitahu, besar harapan mereka jika kerajaan negeri sendiri mengambil alih bazar itu dan melantik satu badan khas yang boleh mengurus serta menceriakan kembali suasana di situ.

Bazar empat tingkat itu terletak bersebelahan Pasar Siti Khadijah sebelum ini menjadi lubuk rezeki peniaga kraf tangan, batik, songket dan kain.

Bagaimanapun, keadaan semasa mengubah bazar itu yang kini sunyi dan kurang menjadi perhatian pelancong.

Sementara itu, peniaga batik, Mohd Ilman Arif, 33, berniaga di bazar itu kerana mahu meneruskan perniagaan yang diwarisi keluarga sejak 1986.

Katanya, dalam tempoh itu suasana sangat meriah dengan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan hasil kraf tangan asli Kelantan.

"Ketika itu kami mula berniaga dari jam 8 pagi hingga 11 malam tetapi kini masa berniaga berubah dan kedai dibuka mengikut waktu pejabat sahaja," katanya.

Mohd Ilman memberitahu, beberapa peniaga turut mengambil inisiatif dengan membuka kedai atau butik di lokasi lain bagi memastikan produk mereka terus diterima pelanggan.

"Kami berharap ada pihak yang boleh membantu menaikkan semula nama bazar ini kerana tempat ini pernah popular satu masa dahulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!