MQT2.0 angkat formula elak umat Islam kerugian
SHAH ALAM - Tema al-Quran, solat dan infak yang diangkat dalam musim terbaharu program Program My #QuranTime 2.0 (MQT2.0) berupaya membantu mengelakkan umat Islam daripada mengalami kerugian dalam setiap rancangan dilaksanakan.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, formula tersebut terkandung dalam ayat 29 Surah Fathir.
“Kalau seseorang itu nak membina keluarga, diri, organisasi, syarikat atau apa-apa sahaja termasuk negara, jika tidak mahu rugi janji daripada ALLAH, adalah dengan tiga perkara ini.
“Kalau tiga perkara ini iaitu al-Quran, solat dan infak dapat dijaga elok, walaupun dia alami jatuh dan bangun tetapi pengakhirannya adalah dia tidak mungkin rugi di dunia, apatah lagi kalau kita sampai ke akhirat nanti,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Fazrul berkata, pengamalan dan pemahaman terhadap tiga tema utama itu bukan sahaja dapat meminimumkan risiko dihadapi dalam setiap perancangan dilakukan, malah pada masa sama membantu seseorang individu membina karakter yang lebih cemerlang.
“Jadi, nak capai perkara itu, kita jaga al-Quran, di dalamnya ada nilai. Kemudian solat itu pula bila kita jaga, ia membina sikap kita.
“Amalan infak itu pula, dia bina budaya memberi kerana budaya ini akan menyebabkan kita tidaklah asyik nak meminta sahaja, lebih-lebih lagi meminta perkara yang bukan hak kita seperti rasuah dan sebagainya,” jelas beliau.
Fazrul berkata, berbeza dengan musim pertama, MQT2.0 akan melihat hanya satu pertiga setiap halaman al-Quran bagi setiap satu jam episod yang disiarkan.
Katanya, pengajian untuk program terbaharu itu akan menampilkan sesi tadabbur yang lebih mendalam, di samping turut menyentuh mengenai bacaan ayat al-Quran.
“Kita juga akan memasukkan elemen hafazan supaya penonton dapat menghafaz ayat pilihan yang diputuskan.
“Kita harapkan daripada al-Quran ini, ia membawa kepada peningkatan solat dan hubungan dengan ALLAH,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!