'Siapa suruh aniaya kucing?'
PASUKAN Brazil sekali lagi dikecewakan di peringkat suku akhir Piala Dunia selepas tewas penentuan penalti kepada Croatia pada Jumaat.
Pasukan kendalian Tite itu yang diletakkan sebagai pilihan utama untuk mara ke peringkat separuh akhir terpaksa akur kalah penalti 2-4 selepas kedudukan terikat 1-1 selesai masa tambahan.
Kekalahan luar jangka dialami Brazil mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan peminat bola sepak.
Lebih menarik apabila kekalahan tersebut dikaitkan dengan sumpahan kucing merujuk kepada insiden seorang petugas media Brazil yang melempar seekor kucing ke lantai semasa sidang media pada Khamis lalu.
Insiden itu mencetuskan kemarahan ramai pihak dan ada netizen yang menyumpah dan mendoakan agar Brazil tewas kepada Croatia.
Akhirnya, apa yang disumpahkan dan didoakan oleh netizen itu menjadi kenyataan menyaksikan gergasi Amerika Selatan itu tumbang di peringkat suku akhir.
Rata-rata komen netizen di laman media sosial juga seolah-olah 'berpuas hati' dengan kekalahan Brazil itu.
"Siapa suruh aniaya kucing," kata Mohd Nazrin.
"Padan muka. Baling kucing lagi. Aku yang mula-mula nak sokong Brazil pun terus maki biar kalah," kata Khai Nizam.
"Sumpahan kucing. Pet (haiwan peliharaan) kesayangan Nabi kami tu," kata Mohamad Nazir.
"Doa kucing dimakbulkan ALLAH," kata Hazlinda Salihin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!