Tengku Zafrul bertemu JACTIM, MCMTC
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengadakan pertemuan dengan delegasi Dewan Perdagangan dan Industri Jepun, Malaysia (JACTIM) serta Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) pada Sabtu.
Beliau berkata, ia bertujuan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara dan berdaya saing untuk menyokong rantaian bekalan serantau dan global.
"Semoga perjumpaan sebegini dapat memberi kemaslahatan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan kita, sementelahan persekitaran global dijangka lebih mencabar pada tahun depan,” katanya menerusi catatan di laman Twitter rasminya, @tzafrul_aziz pada Sabtu.
Sebelum ini, beiau juga bertemu dengan pihak Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berbincang serta bertukar-tukar idea tentang inisiatif yang dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa, pelaburan dan pembangunan industri, yang merupakan teras Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), katanya.
"Semoga kerjasama ini dapat memacu pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul juga berkata, apabila kerajaan mahu merangka polisi, suara daripada pihak berkepentingan perlu didengar supaya dasar yang ditetapkan dapat memenuhi keperluan mereka.
Beliau juga telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan MITI serta beberapa agensi di bawahnya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
MIDA berjaya mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) bersih berjumlah RM48.2 bilion pada 2021 dan RM54 bilion dalam tempoh sembilan bulan bagi 2022.
MIDA juga meluluskan RM309.4 bilion pelaburan untuk 2021, serta RM123.3 bilion untuk separuh pertama 2022.
"Saya percaya bahawa kerjasama antara MITI dan MIDA akan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dengan berkesan dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!