Dr Dzulkefly sedia bantu reformasi sektor kesihatan
KUALA SELANGOR - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia untuk menjadi sebahagian daripada anggota yang melaksanakan agenda reformasi sektor kesihatan di negara ini.
Beliau berkata, meskipun tidak dipilih menganggotai kabinet, namun beliau tetap bersedia untuk memberi nasihat dan cadangan terbaik kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) menyatakan kesediaan untuk membantu, tetapi terpulang kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Hari Tanpa Kenderaan MPKS di Dataran Malawati, Pekan Lama Kuala Selangor di sini pada Sabtu.
Ditanya mengenai pelantikan Timbalan Menteri pada Jumaat, Dr Dzulkefly memberitahu, beliau yakin dan percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil kira segala kepentingan, kekangan dan penglibatan dalam Kerajaan Perpaduan untuk membentuk gandingan terbaik.
Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memberitahu, pelantikan itu berdasarkan kepada kerajaan Perpaduan dan bukan Pakatan Harapan (PH).
Justeru tegas beliau, semua Ahli Parlimen PH memahami segala kekangan dihadapi, namun apa yang lebih penting Kerajaan Perpaduan ini mengangkat nilai dan prinsip yang sama dalam menambah baik sistem tadbir urus dan membanteras segala apa jua ketirisan di dalam negara.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga perlu menangani apa jua perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan budaya di negara ini.
"Kita ingin membentuk sebuah negara yang damai, saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan paling penting kita juga bertanggungjawab untuk memajukan semula negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!