Bayaran RM4 sekali masuk memadai
SEPANG - Persatuan Pemandu Van Persiaran Kuala Lumpur dan Selangor berpuas hati selepas mesyuarat bersama pengurusan gateway@klia2 berhubung permohonan petak serta tempat letak kereta percuma untuk menunggu pelancong di situ mencapai kata putus.
Pengerusinya, Simon Sim berkata, hasil mesyuarat yang diadakan pada jam 4.20 petang semalam, pengurusan gateway@klia2 bersetuju untuk memberi dua petak letak van persiaran di aras 1 (Terminal Bus Hub Pengangkutan) dengan bayaran RM4 sekali masuk bagi setiap 15 minit.
"Mereka juga akan memberi dua petak letak van persiaran di aras tiga (pelepasan) untuk menurunkan pelancong.
"Susulan itu, persatuan menyarankan agar semua pemandu dapat memberi kerjasama," katanya.
Simon berkata, walaupun permohonan asal untuk mendapatkan petak atau tempat letak kereta percuma tidak diperolehi, bayaran sekali masuk sebanyak RM4 yang dikenakan sudah memadai.
Katanya, pelaksanaan kedua-dua perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Terdahulu, mesyuarat tersebut diadakan bersama Penolong Pengurus Besar gateway@klia2, Tian Keng Swee di aras 1 terminal Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2).
Simon berkata, pihaknya terpaksa mengemukakan permohonan tersebut selepas timbul beberapa masalah sebelum ini.
Katanya, pemandu bas persiaran tidak dapat meninggalkan van untuk mencari pelancong yg sesat di KLIA2.
Selain itu katanya, kebanyakan pelancong antaranya dari China, Jepun dan Amerika Latin tidak memahami bahasa yang dipamerkan tunjuk arah papan tanda disediakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!