Berikan perhatian tangani projek sakit - Dr Zaliha
SEGAMAT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan perhatian bagi menangani ‘projek sakit’ terutamanya melibatkan pembangunan fasiliti kesihatan di negara ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pihaknya bagaimanapun akan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci sebelum sebarang tindakan dilaksanakan kelak.
“Saya telah diberikan penerangan secara umum mengenai perkara ini (projek sakit)... tapi belum secara lebih terperinci.
“Apa pun, saya kena tengok, dia sakit tu kut mana (macam mana). Doktor biasalah, nak tengok sakit itu... dia kena tengok satu persatu aduan dia, baru boleh atasi masalah tu.
“Bila kita tengok in detail (lebih mendalam), baru kita boleh buat sesuatu,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Hospital Segamat, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor, Datuk Dr Aman Rabu.
Zaliha berkata demikian berhubung isu 13 ‘projek 'sakit' yang melibatkan klinik kesihatan, hospital dan kuarters di bawah KKM sebagaimana yang dibangkitkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, September lalu.
Sementara itu Zaliha berkata, pihaknya juga akan memberikan perhatian untuk mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di Sarawak, terutamanya dari segi infrastruktur
Katanya, perkara berkenaan dilihat penting berikutan insiden seorang wanita warga emas dari Lawas meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Miri, baru-baru ini.
“Sebenarnya kita memang maklum isu-isu kesihatan di Sabah dan Sarawak... kematian pesakit itu akhirnya kita tahu sebab infrastruktur dari Lawas ke Miri memang sangat jauh dan perlu go through (melalui) beberapa check point.
“Itu antara perkara yang kita sebut... dalam keadaan apa pun, kita akan cuba tingkatkan perkhidmatan kesihatan... tapi kena tengok, perbaiki dan semua aduan yang kita terima tu kita ambil perhatian dan cuba atasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!