'Kami menderita, tetapi kami menang...'
RAKYAT Argentina akhirnya meraikan kejayaan The Albiceleste mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka dipaksa mengharungi detik-detik dramatik sebelum menewaskan Belanda dalam perlawanan suku akhir di Stadium Lusail, Doha.
Detik cemas setiap pemain ke-12 Argentina bertukar kegembiraan selepas kemenangan penentuan sepakan penalti menghantar juara Copa America itu ke separuh akhir.
Penyokong Argentina sebelum itu berkumpul di rumah, bar dan dataran awam untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka diketuai bintang Lionel Messi, menewaskan Belanda 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.
Argentina akan berdepan Croatia pada Rabu, yang menewaskan Brazil pada Sabtu, meninggalkan Argentina pasukan terakhir dari Amerika Selatan dalam persaingan untuk pemburuan juara dunia.
"Kegilaan yang luar biasa, saya berhati saya hampir hancur, saya tidak dapat menahannya lagi," kata seorang peminat di dataran di kejiranan Palermo, Buenos Aires di ketika menonton perlawanan itu di skrin gergasi bersama kira-kira 30,000 peminat lain.
Rakyat Argentina berharap The Albiceleste mampu memenangi Piala Dunia ketiga negara itu, selepas kemenangan pada edisi Argentina 1978 dan edisi Mexico 1986, ketika diketuai mendiang Diego Maradona.
"Semuanya berlaku dalam permainan. Saya gembira, gementar, tetapi sentiasa menyokong pasukan," kata peminat di Palermo, di mana penyokong mengibarkan bendera dengan imej Messi dan Maradona.
"Kami menderita, tetapi kami menang," kata seorang lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!