Bantuan perkasakan wanita diberi secara bersasar - Nancy
KUALA LUMPUR - Bantuan kepada wanita terutama bagi memperkasakan ekonomi melalui perniagaan akan diberi secara bersasar selepas ini bagi memastikan ia benar-benar memanfaatkan golongan terbabit, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, melalui sistem e-Kasih, kerajaan telah memberi banyak bantuan kepada wanita khususnya peralatan untuk menjalankan perniagaan namun disebabkan keadaan tertentu, sesetengah bantuan itu didapati tidak menepati keperluan golongan berkenaan.
"Jadi kita perlu selektif dari segi membahagi atau memberikan bantuan kerana usaha memperkasakan ekonomi bukan hanya dengan cara memberikan bantuan peralatan perniagaan tetapi juga sokong mereka dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan.
"Kalau dia (penerima bantuan) tiada ilmu pengetahuan untuk meyakin dan memperkasakan diri sudah tentu mereka berada dalam keadaan yang sukar, jadi kita (kerajaan) kena tengok aspek ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Kepimpinan Politik Wanita Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertema Melangkah Ke Hadapan di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nancy berkata, peningkatan jumlah calon wanita yang menang bertanding pada PRU15 dan yang berjaya menganggotai Jemaah Menteri baru-baru ini, adalah isyarat yang progresif dan positif terhadap golongan wanita.Katanya, penghargaan juga harus diberi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik wanita bagi jawatan penting iaitu Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.
"Ini adalah kedudukan strategik yang penting untuk isu-isu seperti mengekalkan kanak-kanak perempuan di sekolah, menyediakan penjagaan kesihatan dan sistem sokongan wanita dan keluarga atau malah melibatkan generasi muda dalam aktiviti dan kesukarelawanan.
"Perkara ini adalah sesuatu yang positif supaya wanita diberikan portfolio penting yang secara tradisinya digalas oleh kaum lelaki,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya akan memastikan setiap pihak yang mengendalikan rumah perlindungan kanak-kanak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan agar isu penderaan kanak-kanak tidak berlaku lagi.
Beliau juga mendapat maklumat terdapat rumah perlindungan tertentu yang tidak menjaga dengan betul kanak-kanak yang dilindungi namun menerima peruntukan atau geran kerajaan."Walaupun peruntukan itu tidak banyak tetapi kita (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) nak pastikan supaya mereka (pengusaha rumah perlindungan) betul-betul nak menjaga sebab kerja seperti ini perlu ada perasaan cinta untuk menjayakannya.
"Sebab itu bermula minggu depan, kita akan melawat ke semua institusi di bawah kita (kementerian) supaya dapat memahami perkara ini secara mendalam,” kata Nancy. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!