MMA harap peruntukan kesihatan dinaikkan segera
![Dr Murugan Raj Rajathurai (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Hari Doktor Kedah 2022 di Auditorium Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada Sabtu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/12/10/2017498.jpg)
ALOR SETAR - Kerajaan diharap dapat meningkatkan peruntukan bagi penjagaan kesihatan sekurang-kurangnya lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan kadar segera.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Murugan Raj Rajathurai berkata, langkah itu penting bagi memastikan perubahan besar berlaku dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Beliau berpandangan, penambahan peruntukan perlu disegerakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.
Sebenarnya, peningkatan peruntukan kesihatan dengan kadar lima peratus daripada KDNK merupakan antara hasrat MMA dalam belanjawan sebelum ini.
"Jadi kami harap kerajaan akan meningkatkannya lebih cepat kerana selama ini kami tidak pasti berapa lama masa diperlukan untuk mencapai kadar lima peratus itu, namun kami memerlukan bajet tambahan segera," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Doktor Kedah 2022 di Auditorium Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Sabtu.
![Sebahagian doktor menerima sijil perhargaan pada Majlis Sambutan Hari Doktor Kedah 2022 di Auditorium Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Sabtu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/12/10/2017497.jpg)
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo.
Beliau menyifatkan, penambahan peruntukan diperlukan untuk menyelesaikan beberapa perkara melibatkan penjagaan kesihatan misalnya isu doktor kontrak.
"Antara lain, menaik taraf kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak serta mampu menyediakan penjagaan kesihatan sejagat," katanya.
Tambah Dr Murugan, negara dibimbangkan akan berdepan masalah kekurangan doktor pakar sekiranya peruntukan tambahan tidak dapat dibuat secepat mungkin.
Menurutnya, dana ini diperlukan untuk melatih doktor dalam program latihan pakar dan penjagaan kesihatan dibimbangkan akan tersekat jika ia tidak ditangani segera.
Dr Murugan turut menyuarakan harapan supaya kerajaan dapat bersiap sedia dengan langkah untuk membendung atau mengurangkan kesan wabak virus pada masa akan datang.
“Kami mahu memastikan jika berlaku lagi wabak selepas ini, negara akan bersedia untuk menanganinya dengan betul merana apa yang berlaku sebelum ini sangat teruk.
"Jika ia berlaku lagi, kita akan menghadapi isu yang sama seperti yang kita hadapi, kejatuhan ekonomi dan kesihatan rakyat menjadi taruhan. Jadi seperti negara lain, Perdana Menteri harus bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi pandemik," katanya.
Dalam perkembangan lain, kata beliau, MMA mengalu-alukan pelantikan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang berpengalaman sebagai doktor perubatan.
"Saya yakin Dr Zaliha akan melakukan yang terbaik dan kami tidak sabar untuk terlibat dengan beliau dan boleh bertukar-tukar idea dan pandangan seperti mana dilakukan bersama menteri-menteri terdahulu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!