Hilang hampir 10 hari di Makkah, Pak Ibrahim ditemui selamat

Tangkap layar daripada video dikongsi Nabil Alkhred di Facebooknya.
Tangkap layar daripada video dikongsi Nabil Alkhred di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas yang hilang hampir 10 hari di Makkah, Arab Saudi ditemukan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Kisah itu dikongsi seorang pemilik Facebook bernama Nabil Alkhred dengan memuat naik gambar dan video pertemuannya bersama warga emas tersebut yang dikenali sebagai Pak Ibrahim.

"Saya jumpa Pak Ibrahim yang hilang selama hampir 10 hari. Kesian tengok dia ke hulu ke hilir dan syukur Pak Ibrahim sihat, cukup makan serta cukup minum.

"Saya tanya tidur di mana dan kemudian Pak Ibrahim jawab dia tidur di tempat burung merpati kumpul.

"Mukanya ada sikit lebam kerana tersembam di batu tetapi semuanya selamat dan tiada apa-apa cedera teruk," katanya di Facebook pada Sabtu.

Nabil yang juga seorang mutawif memberitahu pertama kali berjumpa dengan Pak Ibrahim, dia memberinya makanan dan minuman.

"Syukur alhamdulillah...perkara pertama apabila jumpa diberi nasi dan air tetapi Pak Ibrahim tak nak makan sebab terlalu teruja kerana akhirnya ada orang Malaysia yang tegur dia.

"Sedih rasa hati ini bila melihat sendiri muka Pak Ibrahim," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nabil, setiap hari Pak Ibrahim menangis sambil mencari jemaah lain sepanjang tempoh dia terpisah dengan mereka.

"Tag nama travelnya serta beg sentiasa dia pakai tapi tak jumpa juga jemaah Malaysia.

"Nak cakap Arab tak tahu, jadi Pak Ibrahim tak putus asa teruskan berjalan dan hanya berhenti bila penat selain tidur di mana rasa nak tidur," kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Nabil turut memberi jaminan kepada Pak Ibrahim untuk membantu urusan lelaki itu pulang ke tanah air dipermudahkan.

"Bila saya beritahu ahli keluarganya serta jemaah semua sudah pulang ke Malaysia, saya katakan pada Pak Ibrahim agar tidak khuatir.

"Jangan risau pasti saya serahkan kepada pihak travel untuk uruskan Pak Ibrahim pulang ke pangkuan keluarga tersayang," jelasnya.

Menurutnya, Pak Ibrahim yang berasal dari Langkawi, Kedah dan berusia 67 tahun itu tidak nyanyuk dan masih boleh bertutur.

"Terima kasih semua yang tak berhenti mendoakannya. Setiap langkah Pak Ibrahim akan dikira pahala, insya-ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!