Ahmad, Steven berbalas pantun tanda tamat sengketa

Tangkap layar Twitter Steven Sim. Gambar kanan : Tangkap layar Facebook Ahmad yang dilihat membalas pantun daripada Steven.
Tangkap layar Twitter Steven Sim. Gambar kanan : Tangkap layar Facebook Ahmad yang dilihat membalas pantun daripada Steven.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim dilihat berbalas pantun sebagai tanda melupakan sengketa antara mereka, seterusnya bertekad mahu bekerjasama menerajui kementerian itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu, Ahli Parlimen Pontian itu dilihat membalas pantun Steven yang dimuat naik selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

"Pantun untuk @scheekeong: Dayung arah, kota permata, Handal panglima, jadi hikayat, Junjung Titah, lupa sengketa, Ayuh bersama, demi rakyat. Kita jumpa di pejabat @MOFmalaysia," tulisnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 27 timbalan menteri yang akan membantunya dalam kabinet Kerajaan Perpaduan dan menamakan kedua-dua individu tersebut menjawat portfolio Timbalan Menteri Kewangan.

Sebelum itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam ciapan di Twitter 'menghadiahkan' sebuah pantun berikrar untuk bekerjasama dengan Setiausaha Agung UMNO itu.

“Sekarang dah 2022 nak masuk 2023, kita jalan teruih demi pertiwi. Sama-sama dayung bahtera, Dayung arah kota permata; Sama-sama bangun negara, Junjung titah lupa sengketa," tulisnya.

Pada tahun 2015, Steven yang merupakan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan membuat ciapan menyatakan tugasnya adalah untuk meruntuhkan kerajaan yang dianggotai oleh Ahmad.

“Saya hanya ada satu kerja: menjatuhkan kerajaan yang terdiri daripada orang seperti Ahmad Maslan,” ciapnya.

Artikel Berkaitan:

Ciapan itu menjadi tular semula selepas Anwar melantik mereka sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!