KPWKM: Fokus perkasa penglibatan wanita dalam politik
KUALA LUMPUR - Pemerkasaan penglibatan wanita dalam bidang politik antara yang akan diberi keutamaan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Timbalan Menterinya yang baharu dilantik, Aiman Athirah Sabu berpandangan, terdapat kemajuan dalam pelantikan beberapa wanita sebagai menteri dan timbalan menteri dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan, namun lebih ruang harus diberikan kepada golongan wanita.
Sasaran sebanyak 30 peratus penglibatan wanita dalam politik merupakan sebuah idea yang dicetus sejak kira-kira 30 tahun lalu, namun sampai sekarang di peringkat menteri dan timbalan menteri (penglibatan wanita) masih tidak cukup.
"Oleh itu, tugas dan tanggungjawab kami di KPWKM adalah untuk memikirkan cara meningkatkan lagi penglibatan wanita dalam politik, sama ada penambahan program pemerkasaan atau perubahan dasar dan sistem yang diperlukan untuk menyokong idea tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, malam Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat memfokuskan penyelesaian isu masyarakat melalui KPWKM, antaranya isu kemiskinan yang boleh menyebabkan sistem kekeluargaan tidak dapat berkembang dengan baik.
Terdahulu, Aiman Athirah beserta 26 timbalan menteri yang lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.
Beliau merupakan antara muka baharu dalam kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!