Tindakan Hajiji hanya mahu kekal kedudukan di Sabah
SHAH ALAM - Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya untuk mengekalkan kedudukannya di Sabah.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan bekas Pengerusi Bersatu Sabah itu seperti tidak memikirkan prinsip perjuangan yang pernah dilaungkan sebelum ini.
Ujarnya, keputusan Hajiji itu juga seperti tidak mengenang kesungguhan dan pengorbanan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah membantu beliau memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga diangkat sebagai Ketua Menteri.
"Kekesalan dan kekecewaan ini lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera Armada Bersatu dan Pemuda PN yang telah bertungkus lumus memenangkan PN pada PRN Sabah yang lalu.
"Kami yakin masih ada sahabat-sahabat seperjuangan Armada di Sabah yang kekal setia bersama Bersatu.
"Terima kasih diucapkan. Kita akan bina semula Bersatu di negeri Sabah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Sabtu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mengumumkan kepimpinan Bersatu Sabah keluar daripada parti itu.
Hajiji dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil pertimbangan keadaan landskap politik negara ketika ini.
Sementara itu, Wan Ahmad Faysal turut membidas kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yang cuba mengaitkan PN sebagai parti yang mempromosi politik ekstremis Islam semata-mata.
Tegasnya, sebagai seorang tokoh dan pemimpin beragama Islam, Masidi disaran merujuk semula Fasal 6 dalam Perlembagaan Bersatu dan Fasal 5 dalam Perlembagaan PN.
"Jelas sekali tujuan Bersatu dan PN ditubuhkan, bukan untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!