'Tentera bawang' Malaysia serang Facebook WHO
SHAH ALAM - Kehandalan netizen Malaysia dalam membuat serangan di alam maya sememangnya tidak dapat disangkal.
Terbaharu, 'tentera bawang' itu menyerang laman Facebook Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas pentadbir media sosial itu memuat naik status menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menerusi status yang dimuat naik itu, WHO menegaskan semua pihak mempunyai hak untuk menjalani kehidupan yang bebas daripada sebarang keganasan dan diskriminasi.
Kenyataan terbuka pertubuhan itu yang ditugaskan menjalankan penyelidikan dan mengambil tindakan-tindakan tertentu bagi menjamin kesihatan penduduk sedunia yang menyokong budaya songsang itu, ternyata tidak disenangi ramai termasuklah netizen Malaysia.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Ony Nurhusni berkata, dia sebagai pengamal perubatan sangat kecewa dengan tindakan pertubuhan terkenal dunia itu menyokong budaya songsang tersebut.
Seorang lagi rakyat Malaysia yang menggunakan nama Muhammad Roh berkata, pertubuhan itu dilihat telah 'rosak'.
"Nampaknya WHO dah rosak. Maknanya segala guideline yang dia bagi, patut dikaji dan dikeji dalam-dalam," katanya di ruangan komen.
Menurut pemilik akaun bernama Hisyamuddin Kamarudin, setiap individu tidak akan lahir ke dunia sekiranya tiada perkahwinan antara ibu dan ayah.
"Nasib baiklah ayah kamu mengahwini ibu kamu. Jika ada antara mereka adalah kumpulan LGBT, kamu tidak akan wujud untuk pertahankan 'hak'," katanya.
Sokongan yang diberikan WHO terhadap golongan LGBT itu bukan sahaja tidak diterima oleh netizen Malaysia, malah ruangan komen turut dipenuhi dengan kemarahan netizen pelbagai negara.
Setakat jam 11.30 malam pada Sabtu, status yang dimuat naik sejak Jumaat itu telah mendapat lebih 10,000 komen dan dikongsi oleh lebih 3,000 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!