'Anwar jawab kegusaran rakyat'

Keratan akhbar Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil dari atas kanan: Zaharul dan Kuok Tiung)
Keratan akhbar Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil dari atas kanan: Zaharul dan Kuok Tiung)
A
A
A

SHAH ALAM - Kabinet dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan ciri perwakilan inklusif dari segi kaum, wilayah termasuk gender.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Zaharul Abdullah berkata, kepimpinan pentadbiran kerajaan baharu tersebut juga menyaksikan keseimbangan di antara muka baharu dan lama.

Jelasnya, ia untuk membolehkan kabinet berfungsi dengan cekap serta berkesan.

Menurut Zaharul, Anwar juga dilihat memberikan reaksi balas terhadap kegusaran orang ramai khususnya berhubung pembentukan dan pemilihan jemaah menteri dengan senarai timbalan menteri yang diumumkan pada Jumaat.

“Meskipun dikritik oleh banyak pihak kerana memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dalam barisan kabinet, Anwar sebenarnya telah memberi respons terhadap kegusaran rakyat apabila Timbalan Menteri Kewangan datang daripada dua parti berasingan iaitu UMNO dan DAP.

“Anwar dilihat cuba mewujudkan mekanisme semak dan imbang dalaman ke atas kuasanya sebagai Menteri Kewangan.

“Hampir kesemua menteri mempunyai timbalan menteri daripada parti berlainan kecuali Menteri Luar Negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Dengan pengumuman senarai 27 timbalan menteri itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan menteri dalam Kerajaan Perpaduan berjumlah 55 orang.

Menurut Zaharul, memandangkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan mewakili kesemua komponen gabungan dan parti dalam pentadbiran, tiada sebab untuk mana-mana pihak menarik sokongan terhadap Anwar khususnya ketika usul undi percaya pada 19 Disember ini di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, komposisi kabinet itu secara umumnya mewakili keseluruhan kelompok masyarakat Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Namun beliau berkata, perwakilan dari Sabah dilihat masih tidak mempunyai kedudukan sebagai rakan sama rata dengan dalam Kerajaan Perpaduan berbanding parti dari Sarawak.

“Dalam konteks Sabah, dari segi lantikan menteri penuh tempoh hari, memang sedikit mendukacitakan sebab dua orang sahaja (dilantik).

"Paling mengecewakan BN Sabah kerana mereka menyumbang tujuh kerusi tapi tiada menteri penuh.

“Begitu pun, pelantikan timbalan menteri semalam (Jumaat), saya rasa sedikit sebanyak mengubati kekecewaan tersebut,” ujarnya.

Kabinet diterajui Anwar terdiri daripada tujuh menteri melibatkan blok Borneo dengan tujuh daripadanya ialah ahli Parlimen dari Sarawak yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua dari Sabah yang masing-masing mewakili PH dan GRS.

Kuok Tiung berkata, isu lebih penting khususnya parti daripada blok Borneo adalah kemampuan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar untuk melaksanakan tuntutan daripada wilayah berkenaan.

Kuok Tiung berkata, ia membabitkan antaranya isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen dan agihan cukai daripada Kerajaan Persekutuan.

“Lantikan menteri itu tidak beri jaminan (kestabilan kerajaan).

"Sebelum usul undi percaya dilakukan, Anwar perlu meyakinkan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dengan melaksanakan segala janji khususnya hal berkaitan MA63 dan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen,” ujar Kuok Tiung lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!