Banjir: 1,262 penternak ikan sangkar diminta siap sedia
KUANTAN - Seramai 1,262 penternak ikan sangkar di Pahang diingatkan supaya membuat persiapan awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, peringatan itu diberi bagi mengelak penternak ikan menanggung kerugian apabila sangkar mereka musnah selain ikan mati dan terlepas apabila sangkar pecah akibat peningkatan air sungai disebabkan banjir.
Menurutnya, berdasarkan rekod terdapat lebih 13,025 unit sangkar petak ikan air tawar sepanjang Sungai Pahang dan beberapa sungai utama lain.
"Malah, terdapat 341 unit petak sangkar ikan air payau di daerah ini dan Rompin membabitkan seramai 14 penternak.
"Setiap kali tiba MTL, kita akan mengeluarkan peringatan kepada semua penternak ikan sangkar supaya mereka mengambil tindakan sewajarnya dan sekurang-kurangnya risiko kerugian dapat dikurangkan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau menjelaskan, antara langkah perlu dilakukan penternak ialah dengan memastikan ikatan sangkar berada dalam keadaan kuat dan kukuh.
Tambahnya, keadah ini bagi memastikan sangkar tidak mudah dihanyut arus deras air sungai.
"Kalau boleh guna tali bersaiz besar selain kabel besi.Ikan yang mencapai saiz sesuai untuk dijual perlu segera dipasarkan.
"Sebolehnya tangguh dulu kemasukan benih baharu kerana anak ikan boleh mati apabila banjir berlaku," jelas beliau lagi.
Menurut Abdullah, penternak juga perlu sentiasa memantau sangkar mereka apabila paras air sungai meningkat dan ketika banjir berlaku awasi balak dan timbunan kayu yang hanyut supaya tidak melanggar sangkar.
Justeru katanya, penternak perlu sentiasa peka dengan ramalan cuaca dan perubahan paras air sungai supaya tindakan awal dapat dilakukan sekiranya banjir berlaku hingga menyebabkan paras air sungai meningkat dan berlaku arus deras.
"Jadi, kita diminta supaya penternak menitik beratkan keselamatan seperti pakai jaket keselamatan sepanjang berada operasi di sangkar dan menaiki bot," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!