'Mimpi indah Yassine Bounou'
PENJAGA gol Maghribi, Yassine Bounou merasa bagaikan bermimpi setelah berjaya membantu pasukannya mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad.
Beliau berkata, sejarah yang dicipta pasukannya dapat menjadi bukti betapa mereka mampu mencipta keajaiban kepada generasi yang akan datang.
“Apa yang kamu rasakan, itu juga yang saya rasakan... cubitlah saya kerana saya bagaikan sedang bermimpi.
“Detik ini sangat hebat tetapi kami di sini untuk mengubah mentaliti. Rasa rendah diri itu... kami perlu mengubahnya supaya generasi selepas ini tahu yang pemain Maghribi mampu mencipta keajaiban,” kata Bounou.
Penjaga gawang itu dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan apabila membantu Maghribi mengejutkan Portugal 1-0 sekali gus berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala Dunia.
Bounou turut melahirkan penghargaan dan terima kasih buat rakan sepasukan yang memberikan aksi terbaik, biarpun tanpa beberapa pemain utama yang cedera.
“Sukar untuk saya menggambarkan detik ini. Saya mahu mengucapkan terima kasih pada rakan sepasukan atas usaha keras mereka dan penyokong yang sentiasa memberi sokongan.
“Harapnya kami mendapat sedikit rehat untuk bersedia bagi perlawanan seterusnya,” katanya.
Pada aksi separuh akhir, Maghribi akan berdepan juara bertahan, Perancis yang menyingkirkan England menerusi kemenangan 2-1.
Wakil Afrika Utara itu berdepan Portugal tanpa dua tonggak pertahanan, Nayef Aguerd dan Noussair Mazraoui yang berdepan kecederaan sebelum turut kehilangan kapten, Romain Saiss ketika perlawanan berlangsung.
“Terima kasih kepada pemain yang menunjukkan aksi menakjubkan. Ada pemain yang tercedera tetapi pemain yang berada di atas padang beraksi pada tahap tertinggi,” ujar Bounou.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!