Kekurangan bukan halangan OKU khatam al-Quran

Azizah (tiga dari kiri) ketika membaca Quran menggunakan bahasa isyarat. (Gambar kecil: Aina Solehah)
Azizah (tiga dari kiri) ketika membaca Quran menggunakan bahasa isyarat. (Gambar kecil: Aina Solehah)
A
A
A

NILAI - Meskipun mempunyai kekurangan dari segi pendengaran dan pertuturan tidak menghalang seorang operator kilang dari Kedah, khatam al-Quran buat kali kedua.

Anak bongsu daripada sembilan beradik, Azizah Saari, 41, mengakui teruja apabila berjaya khatam al-Quran selepas sekian lama mencari kaedah terbaik untuk mempelajari kitab suci itu.

Malah katanya, semuanya bermula ketika negara berdepan wabak Covid-19 pada tahun 2021 apabila dia mengenali Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh) melalui hebahan di media sosial serta ustaz dan ustazah.

Sebelum itu saya hanya belajar mengenali dan mengingati huruf sahaja selain belajar al-Quran semasa sekolah rendah dan selepas itu tiada kaedah khusus untuk belajar al-Quran bagi OKU seperti saya.

"Jadi apabila saya dapat belajar al-Quran dengan baik dengan kaedah yang betul seterusnya berjaya khatam dua kali iaitu kali pertama pada tahun lepas, kedua hari ini, ia sesuatu yang membanggakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Khatam Quran OKU di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai pada Ahad.

Azizah merupakan antara 22 peserta OKU seluruh negara yang menyertai program itu, terdiri daripada OKU pembelajaran, penglihatan dan pendengaran serta disemak bacaan mereka oleh tiga qari tipikal dalam kalangan mahasiswa Usim.

Zulkifli (tiga dari kiri) ketika hadir pada program itu pada Ahad.
Zulkifli (tiga dari kiri) ketika hadir pada program itu pada Ahad.

Bagi OKU penglihatan, Aina Solehah Zainuddin, lapan tahun dari Terengganu pula berkata, dia seronok dapat khatam al-Quran beramai-ramai.

Artikel Berkaitan:

"Saya belajar mengaji al-Quran sejak umur tiga tahun menggunakan al-Quran Braille. Senang jer tidak susah pun, akhirnya saya berjaya khatam al-Quran pertama kali pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Usim, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif penganjuran Majlis Khatam Quran OKU merupakan kemuncak kempen kesedaran emansipasi OKU dalam memaknai konsep al-Quran sebagai al-Shifa’ (penawar) dan al-Rahmah (rahmat).

"Keunikan dan kepelbagaian kaedah membaca al-Quran ini dilihat di mana OKU penglihatan membaca al-Quran dibantu oleh Mashaf Quran Braille dan OKU Pendengaran pula membacanya tanpa suara dengan mengisyaratkan huruf-huruf al-Quran dengan isyarat Kod Tangan Quran.

"Manakala OKU Pembelajaran ada antara mereka yang mampu bersuara namun tersekat-sekat bacaannya dan susah menyebut kalimahnya, tetapi berusaha membaca semampunya.

"Ada antara mereka yang hanya membacanya dengan bantuan kekuatan audio dan visualnya berbantukan al-Quran digital," katanya.

Menurutnya, usaha ini secara tidak langsung merealisasi konsep Iqra’ yang mengandungi rukhsah (keringanan) dalam membaca, menghafaz dan mengambil pelajaran daripada al-Quran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata aplikasi al-Quran Isyarat yang dibangunkan Usim pada April lepas mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 2,000 pengguna sudah memuat naik aplikasi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!