Rafizi hanya jawab isu politik luar waktu kerja

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memaklumkan hanya akan mengeluarkan kenyataan politik di luar waktu kerjanya sebagai Menteri Ekonomi bermula minggu depan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tindakan tersebut juga akan diselaraskan supaya aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi pembangkang.

Justeru tegasnya, kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi serta perkara berkaitan akan dibuat melalui saluran rasmi sebagai menteri.

Saya faham perang media sosial masih panas, mainan politik Perikatan Nasional (PN)/Pas terus berlaku. Tetapi tanggungjawab utama kerajaan adalah membaiki kehidupan rakyat.

"Masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri. Keutamaan sekarang adalah melaraskan dasar-dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu Rafizi turut memaklumkan, selepas seminggu memahami keadaan semasa kementerian, beliau akan mula mengeluarkan kenyataan politik sebagai Timbalan Presiden PKR untuk menggariskan perancangan, usaha dan persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

"Menyiarkan kandungan-kandungan politik (selain dari kandungan mengenai dasar dan program sebagai menteri) supaya kita mematahkan sentimen kebencian yang dibawa sekarang.

"Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Rafizi berkata, mulai Januari depan, kempen PRN di enam negeri akan mula gerakkan dengan menggunakan kaedah berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa pembabitan duit dan masa kerajaan.

"Jadi kepada kawan-kawan yang risau di luar, Insya-ALLAH kami ada perancangan yang disusun untuk berdepan dengan lawan politik. Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.

"Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk di antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!