Pahang disaran tidak bergantung sumber hutan, mineral

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan DUN Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan DUN Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri disaran mempelbagaikan pendapatan dan tidak mengharapkan sumber hutan dan bahan mineral semata-mata.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, justeru pihak berkaitan perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti sumber kekayaan baharu di negeri ini.

Titah baginda, ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber mineral dan sumber asli semata-mata.

“Usaha ini penting dalam membawa perkembangan dan pemantapan ekonomi negeri.

"Tetapi dalam mengejar peningkatan hasil, saya berharap hutan di negeri ini tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata, sebaliknya ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik dan seterusnya memperkasakan sektor ekopelancongan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, baginda juga mahu prinsip integriti sentiasa menjadi pegangan semua yang terbabit secara langsung dalam pentadbiran.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada interaksi bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dasar dan tadbir urus yang baik adalah kunci kepada kemakmuran yang boleh dinikmati semua rakyat. Maka, adalah penting sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri memiliki integriti yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga perlu meneliti semula keperluan pembangunan infrastruktur mengikut keutamaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Agihan (peruntukan) pembangunan haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengabaikan rakyat di kawasan luar bandar," titah baginda.

Tengku Hassanal merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengumumkan pemulangan sebanyak 50 peratus cukai pelancongan kepada negeri Pahang.

Titah baginda, ia sudah pasti ia dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan aktiviti pemuliharaan, menaik taraf, menyelenggara serta meningkatkan lagi kemudahan pelancongan di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!