Banjir: Lebih 40 keluarga berpindah ke PPS


Rumah penduduk Kampung Bawah Lembah dinaiki air sejak Sabtu menyebabkan mereka terpaksa berpindah. (Gambar kecil: Zainira)
Rumah penduduk Kampung Bawah Lembah dinaiki air sejak Sabtu menyebabkan mereka terpaksa berpindah. (Gambar kecil: Zainira)
A
A
A

RANTAU PANJANG - Lebih 40 keluarga di Kampung Bawah Lembah, Gual Periuk mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periuk di sini, pada jam 10 pagi Ahad berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Tinjauan Sinar Harian di kampung berkenaan mendapati, penduduk mula berkemas dan meletakkan barang ke dalam perahu selepas halaman rumah mereka dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter.

Pesara, Mohd Sayuti Che Ya, 50, berkata, kediamannya sudah dinaiki sejak Sabtu menyebabkannya mengambil keputusan untuk berpindah bersama isteri, Fatimah Meli dan dua anak berusia 11 dan 23 tahun.

Ini kali kedua kami berpindah dalam tempoh sebulan selepas akhir November lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, banjir turut mengakibatkan dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila tanamannya musnah ditenggelami air.


Mohd Sayuti menolak perahunya yang memuatkan barangan keperluan untuk berpindah ke PPS Gual Periuk.
Mohd Sayuti menolak perahunya yang memuatkan barangan keperluan untuk berpindah ke PPS Gual Periuk.

Sementara itu, Norma Salleh, 51, pula mengambil keputusan berpindah awal bagi menjaga keselamatan ibunya, Hawa Deris, 74, yang mengalami sakit saraf.

Norma yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak memberitahu, air sudah memasuki ruang dapur rumah sedalam 0.3 meter.

Artikel Berkaitan:

"Saya kini menumpang sementara di rumah kakak, Norizan Salleh manakala ibu pula dijaga adik di Perumahan Tanjung Bunga kira-kira dua kilometer dari kampung ini.

"Saya juga mengemas lebih awal dengan menyimpan barang-barang penting bagi mengelakkan masalah jika hujan berterusan," katanya.


Penduduk menggunakan perahu menyeberang banjir dari halaman rumah ke jalan raya untuk berpindah.
Penduduk menggunakan perahu menyeberang banjir dari halaman rumah ke jalan raya untuk berpindah.

Seorang lagi mangsa banjir, Zainira Mohammad, 34, terpaksa membawa keluar dua anaknya berusia tiga dan sepuluh tahun dari rumah mereka yang sudah dinaiki air separas 0.3 meter.

"Sudah menjadi rutin tahunan buat kami sebab itu kena buat persiapan awal. Saya reda barangan rumah termasuk perkakas elektrik rosak akibat ditenggelami air.

"Ada kalanya kami terpaksa baiki sendiri peralatan seperti peti sejuk dengan menjemurnya ketika cuaca panas. Jika masih boleh digunakan, itu kami anggap rezeki," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa daerah di negeri pantai timur mengalami hujan lebat tahap bahaya selama tiga hari bermula Khamis.

Kemas kini sehingga jam 2.30 petang mendapati, seramai 657 melibatkan 212 keluarga ditempatkan di empat PPS seluruh negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!