Mahu derma darah selagi termampu
KLUANG - Niat mahu membantu serta atas dasar tanggungjawab sosial dan kemanusiaan mendorong seorang lelaki yang sudah menghampiri usia emas untuk terus menderma darah selagi termampu.
Pekerja swasta, Rosali Mehoon, 59, percaya amalan tersebut dapat menyelamatkan nyawa orang ramai terutama mereka yang memerlukan, menyebabkannya konsisten menderma darah sehingga 110 kali sejak kira-kira 40 tahun lalu.
"Saya akan terus derma darah selagi termampu kerana sedar ramai yang memerlukan bekalan darah. Saya anggap inisiatif murni ini didorong keinginan membantu menyelamatkan nyawa ramai orang.
"Saya mula menderma darah pada tahun 1981 di Ipoh, Perak dan selepas itu sudah menderma darah di merata tempat seluruh negara," katanya ketika ditemui dalam program Jom Derma Darah di Pasar Raya Econsave Kluang di sini pada Ahad.
Program berkenaan anjuran Persatuan Kasih Prihatin Malaysia Negeri Johor (Pekasih Johor) dengan kerjasama Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan pasar raya berkenaan.
Turut hadir Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Pengerusi Pekasih Johor, Jaafar Matek.
Rosali yang kini menetap di Taman Durian, Yong Peng, Batu Pahat berkata semakin aktif menderma darah pada 2002 manakala pada 2015 sudah mula menjadi penderma darah kategori aferesis.
"Sejak itu setiap tiga bulan sekali saya akan menderma darah. Anak-anak dan isteri saya menggalakkan saya berbuat demikian.
"Saya tidak pernah mengalami sebarang kesan sampingan setiap kali menderma darah, alhamdulillah sihat," ujar bapa kepada tiga anak itu.
Disebabkan kesedaran dan merasakan satu tanggungjawab, Rosali sanggup memandu dari Yong Peng ke pasar raya tersebut untuk menderma darah.
Beliau yang mempunyai beberapa buku rekod menderma darah dan menyimpannya sebagai kenangan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah.
Sementara itu, Jaafar berkata, program berkenaan bermula jam 10 pagi dan tamat 1 petang dengan merekodkan 33 orang menderma marah.
"Ramai lagi yang mahu menderma darah tetapi tidak berpeluang kerana masa yang tidak mengizinkan.
"Seramai 46 yang mendaftar untuk derma darah tetapi 33 orang sahaja sempat derma darah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!