'Fokus bekerja bantu rakyat bukan cari silap parti lawan'
KANGAR - Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta terus fokus bekerja untuk membantu rakyat bagi menangani kos sara hidup dan bukannya mencari kesalahan parti lawan.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan dan sikap pemimpin politik dalam kerajaan yang berterusan mencari kesilapan parti lawan dilihat seperti parti pembangkang.
Isu rakyat banyak, kami akan membantu (kerajaan) untuk menyelesaikannya bukan dengan korek cerita, ini kerajaan korek ke kerajaan nak bela rakyat. Ini kerajaan untuk membina rakyat bukan kerajaan korek, kalau panggil kerajaan 'backhoe' marah pula.
"Kalau korek ada bukti tidak apa, ini korek benda tidak logik kata RM600 bilion (dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin).
"Tender apa semua pegawai kerajaan buat, beliau umum sahaja, ingat prosedur kerajaan cukup ketat ada tender semua. Pegawai kerajaan bukalah mulut, saya minta buka mulut biar rakyat tahu dan dengar," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Tembusu, dekat sini pada Ahad.
Shahidan berkata, isu rakyat seperti kekurangan telur ayam di pasaran yang menghimpit rakyat perlu diberikan perhatian serius kerajaan hari ini dan bukannya memfokuskan isu tidak penting.
"Sekarang ini macam mana nak turunkan harga telur, saya dulu (dalam) jawatankuasa telur (Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi) dan Tan Sri Annuar Musa pengerusinya. Kami tahu betapa sukar untuk menguruskan telur ini dan ayam. Jadi kerajaan kena tumpu kepada masalah ini," ujar beliau.
Jelasnya, beberapa isu yang dikaitkan dengan beliau baru-baru ini akan diselesaikan menerusi saluran undang-undang untuk memberikan pencerahan kepada rakyat.
"Kerajaan sekarang perlu persembahkan apa yang mereka mahu buat pada rakyat.
"Beberapa kenyataan yang dibuat kepada saya Insya-Allah akan diperbetulkan secara undang-undang sebab apa yang disebutkan itu salah, tidak benar dan merupakan pembohongan mutlak," kata Shahidan.
Pada 7 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan beliau menjelaskan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan dirinya dengan pemilikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) RM400 juta adalah tidak benar.
Shahidan turut mempersoal tindakan Anwar yang mendedahkan hanya beberapa nama terlibat dalam pembelian saham berkenaan selain mengumumkan secara terbuka butiran syarikat itu yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
Menurutnya, penjelasan berhubung isu berkenaan hanya akan dilakukan kemudian dan kemungkinan dalam persidangan Parlimen akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!