14 keluarga mohon kawasan penempatan baharu
KUALA TERENGGANU - Sebanyak 14 buah keluarga di Kampung Pulau Sekati, di sini merayu kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan tanah rizab sungai berkeluasan 1.6 hektar di kampung itu sebagai kawasan penempatan baharu mereka.
Penduduk, Wan Kamaruzi Wan Sharif, 50, berkata, permohonan tanah itu dibuat selepas tanah berkeluasan 2.17 hektar yang menempatkan kediaman mereka sejak tiga generasi lalu kembali dituntut waris pemiliknya.
Jelasnya, permohonan tanah itu dikemukakan sejak November 2021, namun sehingga kini belum ada sebarang jawapan.
"Permohonan tanah dibuat di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu sejak setahun lalu, namun setakat ini kami tiada menerima sebarang jawapan.
"Tanah yang dimohon itu mampu menempatkan sebanyak 14 lot rumah melibatkan 14 buah keluarga yang berdepan tuntutan semula oleh keluarga pemilik tanah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fauzi Muda, 46, berkata, kebanyakan keluarga terlibat dengan tuntutan itu adalah generasi ketiga penduduk asal yang telah tinggal di tanah berkenaan sejak 1940-an.
"Kami semua adalah penduduk asal yang tinggal di kampung ini sejak zaman datuk nenek kami. Pemilik asal tanah ini telah beri kebenaran kepada keluarga kami untuk tinggal di sini sehinggalah generasi yang ada sekarang.
"Malangnya, setelah laluan masuk ke kampung ini dinaik taraf, bermulalah kedengaran tuntutan daripada pihak waris lebih-lebih lagi apabila lebuh raya di kampung ini siap sejak 2017,"katanya.
Menurut Fauzi, proses tuntutan tanah melibatkan 10 buah keluarga telah dibawa ke mahkamah dan mereka diberikan tempoh untuk keluar dari kediaman sehingga 17 Januari 2023 manakala empat keluarga lagi dalam proses pengambil alihan tanah.
"Sebenarnya, pihak mahkamah telah mengarahkan supaya dilakukan proses mediasi atau proses penyelesaian melalui perundingan bagi mencapai kesepakatan.
"Walaupun begitu, kesepakatan yang dicapai hanya menguntungkan sebelah pihak sementara kami pula terpaksa meninggalkan rumah sehelai sepinggang tanpa mendapat sebarang bayaran atau kos untuk menampung proses perpindahan rumah dan seumpamanya," ujarnya.
Sementara itu, Wan Nasri Wan Ramli, 50, berkata, kerajaan melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal telah menawarkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Nanas, Tepoh, di Kuala Nerus untuk didiami mereka yang terlibat.
Bagaimanapun katanya, dengan jumlah ahli keluarga yang ramai bagi sesebuah keluarga, rumah itu dilihat tidak mampu menampung mereka.
"Jumlah terlibat dalam perpindahan ini melibatkan kira-kira 52 orang. Ada ahli keluarga yang ramai dan ada juga yang uzur menyebabkan agak sukar untuk tinggal di kediaman itu.
"Kalau diikutkan kami semua tak nak berpindah. Kami semua mahu terus tinggal di sini (Pulau Sekati) kerana ia adalah tanah air dan satu-satunya warisan yang kami ada sejak sekian lama," kata Wan Nasri.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Pulau Sekati, Mohd@Rashid Ismail, 72, berkata, jemaah masjid di kampung itu akan berkurangan dan tidak mencukupi untuk menunaikan solat Jumaat sekiranya 10 ketua keluarga itu berpindah.
"Kita takut jika tiada jemaah, masjid ini akan bertukar status kepada surau dan orang kampung pula terpaksa pergi ke masjid di luar kawasan kampung.
"Setakat ini bilangan jemaah di masjid ini tidak ramai dan hanya cukup-cukup untuk tunai solat Jumaat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau berharap dan merayu supaya pihak berkaitan mempertimbangkan untuk penduduk berkenaan terus menetap di kampung itu.
"Kalau boleh saya sendiri secara peribadi tak mahu mereka pindah. Biarlah kekalkan mereka dalam kampung ini kerana kita semua pun sudah seperti anak-beranak semuanya.
"Saya juga amat berharap kepada jasa baik, sekiranya mereka perlu juga berpindah, sediakanlah tapak rumah untuk mereka di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!