Bina negara bukan macam masak mi segera
PEJAM celik, minggu ini sudah hampir tiga minggu Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk pejabat Perdana Menteri.
Sudah hampir 10 hari juga, 27 orang pak menteri angkat sumpah menjadi kabinet Anwar.
Pada Jumaat lepas, 27 orang lagi diangkat menjadi timbalan menteri. Walaupun ada yang suka, ada yang tak gembira, ada yang puji dan ada yang cemuh, Merak Jalanan lihat ini adalah landskap politik baharu Malaysia.
Inilah rupa bentuk kerajaan baharu yang perlu kita terima.
Kerajaan dipimpin daripada parti-parti campuran yang pernah berseteru dahulu, tetapi hari ini boleh bertolak ansur dan saling bermaafan.
Siapa tahu, ia mungkin menjadi titik mula kepada Malaysia yang lebih baik pada masa depan terutamanya menjauhi politik kebencian kaum dan agama.
Tetapi bak kata orang tua, rumah siap pahat berbunyi.
Walaupun kerajaan sudah tertubuh, sembang kedai kopi masih panas dengan isu-isu politik dan pascapilihan raya.Merak Jalanan yang sempat minum-minum dengan beberapa rakan hujung minggu lalu turut berdepan isu sama.
Ramai yang sudah memberi analisis 'keras' kebolehan dan kemampuan pak menteri.
Walaupun ada yang memuji kepantasan beberapa menteri senior seperti Anthony Loke, ada juga yang mempertikaikan menteri lain.
Ada yang katanya lambat bertindak isu telur ayam, isu harga barang malah ada menteri takut mahu jumpa media.
Apa yang Merak Jalanan boleh katakan sabarlah. Kerajaan baharu, nak selesai macam-macam isu negara bukan semudah masak mi segera lima minit siap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!