Kebaikan kluster pembangkang
SHAH ALAM - Pembentukan kluster dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang mampu membantu kerajaan mewujudkan dasar bersifat inklusif dan komprehensif.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Zaharul Abdullah berpandangan, walaupun kluster berkenaan dijangka memberi tekanan kepada kepimpinan kerajaan, namun situasi seperti itu baik untuk mekanisme semak dan imbang.
"Kita tahu terdapat ramai muka-muka baharu dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri (dan) tidak mempunyai pengalaman pentadbiran, memerlukan bimbingan.
"Sekiranya dibuat (kluster pembangkang), ia merupakan satu inisiatif baik sebagai mekanisme semak dan imbang yang teratur terhadap setiap kementerian.
"Oleh itu, ia akan meningkatkan kecekapan, kesegeraan respons, tutur kata dan penyampaian yang lebih berhati-hati serta apa yang perlu diutamakan oleh kerajaan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan dibahagikan dalam bentuk kluster atau pengkhususan agar dapat memberi fokus pada setiap isu rakyat dalam sidang Parlimen.
Dalam pada itu, Zaharul berpandangan, kritikan dan pandangan daripada pembangkang yang sebahagiannya pernah menjawat jawatan menteri serta timbalan menteri akan memberi tekanan kepada barisan kepimpinan kerajaan yang kebanyakannya muka baharu.
Namun, beliau positif kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengalu-alukan perkembangan tersebut, selain mampu menyerap tekanan untuk bekerjasama dengan pembangkang menyelesaikan isu rakyat.
"Ini menunjukkan perkembangan positif dari pihak pembangkang yang cuba untuk 'engage' kerajaan melalui dasar berbanding memainkan isu agama dan perkauman.
"Agenda ini perlu diangkat dan diutamakan sekiranya PN ingin menjadi pembangkang yang konstruktif dan berwibawa," ujarnya.
Sementara itu, penganalisis politik, Datuk M Periasamy berpendapat, pembentukan kluster berkenaan tidak memberi tekanan keterlaluan kepada Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, tugas ahli Parlimen adalah untuk berbahas isu-isu yang dibangkitkan untuk kepentingan rakyat.
"Menyekat seorang ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tidak menggambarkan amalan demokrasi serta peranan mereka dalam Dewan Rakyat.
"Ahli Parlimen harus bebas bersuara atau membangkit isu rakyat.
"Anwar ialah seorang yang berpengalaman luas (dalam kerajaan) sebelum ini. Sudah pasti, beliau mampu hadapi sebarang bentuk tekanan daripada ahli Parlimen pembangkang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!