Kereta melambung langgar bonggol di Seksyen 7
SHAH ALAM - Beberapa pemandu kenderaan nyaris hilang kawalan selepas melalui bonggol di laluan utama berhampiran Universiti Selangor (UniSel) di Seksyen 7 di sini pada malam Ahad.
Video klip dikongsi di laman Twitter itu memaparkan kenderaan terbabit melambung selepas melanggar bonggol berkenaan.
Namun kenderaan tersebut dirakam selamat ‘mendarat’ tanpa terbabas serta tidak melibatkan sebarang kemalangan dengan kenderaan lain.
Video insiden itu dikongsi pengguna Twitter dikenali dengan nama Abang Kiah @adiehussin94 selepas melalui laluan berkenaan dan mendakwa tiada jalur kuning sebagai amaran agar memperlahankan kenderaan kerana terdapat bonggol di situ.
"Depan UniSel Seksyen 7 Shah Alam tiba-tiba pula lalu tadi ada bump besar bapak, buat bump takde jalur kuning. Tak tahu nak mengadu kat siapa ni, harap warganet berhati-hati dan mohon perlahankan kenderaan," ciapnya.
Sehingga awal pagi Isnin video terbabit telah ditonton lebih 30,000 kali dan dikongsi hampir 3,000 pengguna Twitter.
Pemilik akaun Twitter turut memuat naik komen ditujukan kepada pihak berwajib yang menyelenggara laluan jalan tersebut.
Dalam pada itu, berkongsi video sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof meminta pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) segera mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kemalangan berlaku.
"Saya telah maklumkan ke Ahli-Ahli Majlis MBSA @sacitycouncil sebaik menerima aduan/berita mengenai bonggol ini.
"Tindakan segera mesti diambil untuk elak kemalangan," ciapnya dengan perkongsian video pengguna Twitter dikenali dengan nama Abang Kiah di laman Twitternya.
Sinar Harian difahamkan pihak MBSA telah meletakkan papan tanda amaran di laluan berkenaan pada petang Ahad sebelum selesai mengecat jalur kuning pada sebelah malamnya.
Namun, disebabkan masih belum menyedari perubahan tersebut lalu pengguna jalan raya memandu pada had kelajuan biasa menyebabkan kenderaan dipandu mereka melambung.
BE AWARE!!! AMARAN!!!
— ABANG KIAH (@adiehussin94) December 11, 2022
Depan Unisel seksyen 7 shah alam tiba2 pulak lalu tadi ada bump besar bapak, buat bump takde jalur2 kuning. Xtahu nak mengadu kt sape ni, harap warganet berhati-hati dan mohon perlahankan kenderaan.@JKRSelangorpic.twitter.com/v7j6MmIblj
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!