Banjir: 'Kami bukan enggan berpindah ke PPS'

Ab Rahman dan isteri, Kalsom di samping anak mereka, Norman Hakim ketika ditemui di Kampung Titian Baru di Kuala Terengganu.
Ab Rahman dan isteri, Kalsom di samping anak mereka, Norman Hakim ketika ditemui di Kampung Titian Baru di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pasangan suami isteri yang memiliki anak menderita penyakit cerebral palsy memutuskan untuk terus berada di rumah meskipun beberapa bahagian rumah mereka telah dinaiki air.

Ab Rahman Kadir, 62, berkata, dia dan isteri, Kalsom Salleh, 57, terpaksa mengambil keputusan itu memandangkan anak istimewanya, Norman Hakim, 22, tidak boleh tinggal dalam suasana ramai orang.

"Kami bukan enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) namun bimbangkan keadaan anak di sana nanti.

"Pernah sebelum ini kami terpaksa pulang kerana dia tidak selesa berada di situ. Dia akan buat bising dan menjerit-jerit sebagai tanda tidak suka kerana terlalu ramai orang yang berpindah di PPS.

"Sebab itulah setiap kali banjir, kami suami isteri terpaksa tinggal di rumah ini menjaga Norman Hakim manakala lima anak yang lain akan berpindah ke PPS berdekatan," katanya ketika ditemui di Kampung Titian Baru di sini, pada Isnin.

Menurut Ab Rahman hampir saban tahun dia terpaksa mengambil risiko tinggal di rumah walaupun dilanda banjir bagi memastikan anaknya selesa.

Katanya, mereka sukar untuk berpindah ke PPS kerana tiada kelengkapan sesuai untuk menjaga Norman Hakim di situ.

"Biasanya, adik beradiknya yang lain akan bergilir balik ke rumah dari PPS untuk membantu menguruskan makan minum dan mandi Norman Hakim," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sekiranya keadaan banjir bertambah buruk, Ab Rahman memberitahu, mereka tiada pilihan lain dan terpaksa juga berpindah.

"Jika berlaku banjir yang lebih besar dan buruk, saya tiada pilihan dan terpaksa akur untuk berpindah sekiranya tiada lagi ruang yang selamat untuk kami duduk di rumah ini

"Buat masa ini, ada lagi ruang yang tidak ditenggelami banjir, jadi kami duduk sahaja di sini," katanya.

Masalah banjir yang berlaku di kawasan kediaman Ab Rahman disebabkan aliran longkang yang tidak sempurna malah keadaan itu telah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!