Penduduk diajar langkah keselamatan hadapi banjir
KUANTAN - Penduduk dari sembilan kampung yang berada sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Semantan di Temerloh diberi pendedahan mengenai teknik pengendalian bot dan langkah-langkah keselamatan ketika memberi pertolongan semasa banjir pada Ahad.
Program Pengendalian Bot dan Keselamatan Semasa Banjir (Simulasi Banjir) yang diadakan di Kampung Gantok, Mentakab itu disertai 100 peserta dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Dingin, Kampung Mambang Berulang, Kampung Gantok, Kampung Lompat, Kampung Paya Tambang, Kampung Songsang, Kampung Chatin, Kampung Raja dan wakil dari Kampung Lebu, Bentong.
Pengerusi Cawangan Persatuan Bantuan Masyarakat Negeri Pahang, K Kharthigeyan berkata, pihaknya bersama bersama sebuah badan bukan kerajaan, (NGO) Nirakshana Relief Team mengambil inisiatif itu bagi membantu kerajaan memberi pendedahan kepada masyarakat dalam menghadapi bencana banjir.
Menurutnya, langkah itu sekurang-kurangnya dapat mendedahkan masyarakat terhadap keselamatan untuk membantu mangsa yang terlibat sebelum bantuan pihak berkuasa atau pasukan penyelamat tiba.
"Inisiatif ini dilaksanakan mengambil kira situasi Pahang yang sering berlaku banjir pada Monsun Timur Laut (MTL).
"Di Temerloh misalnya, penduduk kampung sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Semantan sering menghadapi banjir setiap tahun, jadi program ini antara usaha sebagai persediaan membantu mereka menghadapi bencana itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kharthigeyan berkata, program itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Jabatan Pembangunan Wanita Negeri
Pahang, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Temerloh dan Jabatan Amal Daerah Temerloh.
"Selain membantu masyarakat lebih bersedia menghadapi bencana banjir, program ini juga diharap dapat mengurangkan kemalangan jiwa apabila berlaku bencana banjir dan bantu tingkatkan keupayaan serta potensi diri peserta untuk lebih berdikari dalam mengharungi kehidupan sepanjang tempoh bencana itu," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!