Perancis perlu kerah kudrat berdepan Maghribi
SKUAD Perancis perlu mengerah segala kudrat apabila turun beraksi menentang Maghribi dalam saingan separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Khamis.
Penjaga golnya, Hugo Lloris memberitahu, Les Bleus juga perlu kekal tenang dan optimis sesuatu yang istimewa akan berlaku.
"Kami giat membuat persiapan untuk menentang Maghribi. Kami akan gunakan segala kekuatan.
"Semua pemain dapat rasakan ada sesuatu yang sangat istimewa yang boleh kami capai.
"Saya fikir kita semua sedar tentang perkara ini. Kita akan kekal tenang dan bersedia," ujar Lloris yang disiarkan di akaun Twitter rasmi Perancis.
Les Bleus menjadi penyandang juara pertama melangkah ke separuh akhir sejak Brazil melakukannya pada 1998 apabila mengetepikan England 2-1 pada perlawanan suku akhir Sabtu lalu.
Kemenangan itu amat istimewa buat Lloris yang menjadi pemegang rekod Perancis selepas mengatasi Lilian Thuram (142) dengan penampilan antarabangsanya ke-143.
Mengingati peristiwa tersebut, kapten itu dihadiahkan baju oleh pengurusnya, Didier Deschamps.
"Saya masih berbangga, berbesar hati memakai baju Les Bleus walaupun selepas 143 penampilan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan, kakitangan dan seluruh pengurusan kerana menjadikan perlawanan itu begitu sempurna.
"Kemenangan menewaskan England di suku akhir akan kekal sebagai kenangan istimewa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!