'Kemuka status projek mega terdahulu'

Zurihan
Zurihan
A
A
A

SHAH ALAM - "Kemukakan dahulu status projek-projek mega yang diumum sebelum ini," demikian reaksi Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusop mengenai pengumuman kerajaan negeri untuk bangunkan taman tema bertemakan Hollywood di kawasan Kuala Langat.

Zurihan berkata, beliau bersetuju dengan projek pembangunan taman tema di Kuala Langat, namun apa yang penting, rakyat tertanya-tanya tentang status terkini projek Second West Port, Bandar Aeroangkasa di Pulau Carey dan pembangunan di Pantai Morib.

"Bagaimana status semua projek-projek mega ini? Bagi saya, rakyat tak mahu sesebuah projek itu diumumkan secara mega, tapi hakikatnya mega tangguh atau mega gagal, laksanakan dahulu apa yang diumum sebelum itu yang sebaiknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, dia bersetuju dengan pengumuman untuk membangunkan taman tema berkenaan kerana ia dapat meningkatkan ekonomi dan hartanah di Kuala Langat ini.

"Kalau boleh, kerajaan kena bagi secara spesifik tahun sasaran mula projek, dan masa sama siap skala mega ekonomi untuk rakyat dan pelabur domestik berskala kecil dan sederhana.

"Sekali gus rakyat akan menerima manfaat daripada pembangunan projek berskala mega ini. Tapi seperti saya katakan kena beritahu secara jelas akan projek ini," katanya.

Terdahulu, pada 12 April lalu, Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan Kuala Langat bakal menjadi destinasi percutian keluarga apabila tiga taman tema tersohor, Universal Studio, Fox World dan Disney World siap dibina.

Menurutnya, tiga taman tema itu dibina berikutan kawasannya yang strategik daripada sudut pembangunan di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri sudah menerima beberapa permohonan daripada pemaju di sekitar sini bagi melaksanakan projek terbabit.

“Tiga taman tema itu bakal dibina di jajaran sebahagian Kota Kemuning sehingga berhampiran Sijangkang memandangkan ia antara kawasan pembangunan yang begitu pesat.

“Kuala Langat menerima pelbagai pembangunan baru pada masa kini dan jika dilihat ia antara kawasan yang amat strategik untuk membangunkan taman tema,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!