Orsato dipilih adili aksi Argentina, Croatia
PENGADIL dari Itali, Daniele Orsato dan pegawai video bantuan pengadil (VAR), Massimiliano Irrati diberi tanggungjawab mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Argentina dan Croatia pada Rabu.
Orsato juga muncul salah seorang calon utama untuk mengadili aksi final.
Beliau mengendalikan perlawanan pembukaan pentas berprestij itu antara tuan rumah, Qatar dan Ecuador.
Bagaimanapun, Orsato direhatkan bagi keseluruhan aksi pusingan 16 dan saingan lapan pasukan terbaik, tetapi kembali untuk mengadili perlawanan separuh akhir.
Ramai pemain mengenali pengadil Serie A itu kerana kedua-dua pasukan tersebut menampilkan antaranya Lautaro Martinez, Marcelo Brozovic, Angel Di Maria, Ivan Perisic, Leandro Paredes, Nikola Vlasic dan Paulo Dybala.
Orsato hanya pernah mengadili Argentina ketika menewaskan Mexico 2-0 di peringkat kumpulan, manakala rekodnya bersama Croatia adalah dua kemenangan dan kekalahan 1-0 kepada England pada Euro 2020.
Pemilihan Orsato menjadi perhatian selepas beberapa pegawai perlawanan berdepan kritikan dalam kalangan pemain.
Mereka mula merasai tekanan terutama selepas Portugal dan Belanda menuduh pengadil pada Piala Dunia 2022 di Qatar banyak memihak kepada Argentina.
Paling mencuri tumpuan adalah pengadil dari Sepanyol, Mateu Lahoz yang melayangkan 16 kad kuning ketika mengadili aksi suku akhir di antara Argentina menentang Belanda Sabtu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!