Malaysia manfaatkan perjanjian ECRL bagi pembelian minyak sawit oleh China: PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia memanfaatkan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) Projek Rel Pantai Timur (ECRL) bagi merangka butiran membabitkan pembelian minyak sawit oleh China, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perjanjian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) yang dimeterai baru-baru ini, turut membabitkan persetujuan termasuk eksport minyak sawit dan pelaburan dari China.

“Ini secara tidak langsung, tidak berkaitan...(namun) kita memanfaatkan pemeteraian itu untuk merangka pembelian minyak sawit dari China.

"Itu akan berlaku," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa rundingan pakej ECRL itu turut membabitkan komitmen China bagi membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia selain meningkatkan pelaburan langsungnya ke Malaysia.

Pada 12 April lepas, MRL dan CCCC memeterai SA yang membolehkan projek ECRL yang sebelum ini ditangguhkan, disambung semula.

Mengikut perjanjian tambahan baharu itu, kos bagi Fasa 1 dan 2 ECRL itu akan disambung semula pada harga RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal berjumlah RM65.5 bilion.

Selain pengurangan kos, jajaran baharu ECRL dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang juga menyaksikan jarak landasan turut dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding 688 kilometer dalam rancangan awal.

Artikel Berkaitan:

Mengulas harga tiket ECRL, Dr Mahathir berkata butiran berkaitan masih belum diputuskan setakat ini.

“Namun, kita juga mempunyai hak dari segi menentukan operasi secara dalam talian, termasuk harga tiket," kata Perdana Menteri. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!