[VIDEO] 'Ada enggan pindah ke PPS sebab sayang tinggalkan harta'
PASIR MAS - Ada segelintir mangsa terjejas banjir di daerah Rantau Panjang dan Pasir Mas di negeri ini enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sayang tinggalkan harta benda di kediaman masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengakui perkara itu mengakibatkan usaha pasukan penyelamat berdepan kesukaran bagi memindahkan mereka ke kawasan selamat.
“Penduduk di beberapa tempat tidak mahu berpindah kerana menganggap banjir belum besar dan masih ingin berada di rumah.
“Walaupun begitu, keadaan dapat diatasi apabila berjaya dipujuk manakala yang masih kekal di rumah kerana alasan sayang harta benda, berada dalam keadaan terkawal,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Isnin.
Nik Aminuddin seterusnya menasihati mangsa banjir supaya segera berpindah ke PPS walaupun rumah digenangi air pada paras rendah sebagai langkah keselamatan awal.
Beliau turut memberi jaminan pihaknya sentiasa menjalankan rondaan di lokasi yang dinaiki air bagi memastikan keadaan keselamatan harta benda penduduk terjamin.
“Kerja-kerja menyelamat mangsa banjir dilakukan dengan kekuatan 170 anggota pasukan keselamatan termasuk menggunakan lapan bot Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setakat ini, belum ada apa-apa laporan berkait lemas kerana banjir mahupun kecurian dalam bencana ini,” katanya.
Setakat jam 12.56 tengah hari, seramai 1,626 mangsa melibatkan 504 keluarga daripada 10 kampung di kedua-dua daerah itu ditempatkan di enam PPS apabila kawasan mereka dinaiki banjir sedalam 0.2 meter (m) sehingga 0.8m.
“Kampung-kampung terbabit ialah Kampung Banggol Kulim, Kampung Tersang, Kampung Pengkalan Jeroh, Kampung To’Deh, Kampung Bakong, Kubang Pak Hitam, Kampung Tebakang, Kampung Serongga, Kampung Gelang Mas dan Kampung Jambu.
“Jalan di kampung-kampung tersebut juga ditutup kepada kenderaan ringan dan keadaan semasa cuaca semakin pulih dengan paras Sungai Golok menunjukkan penurunan kepada 9.53m berbanding 9.66m pada semalam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!