Sasar 500,000 pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 500,000 pencarum bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) tahun hadapan.
Menterinya,V Sivakumar berkata, setakat seminggu pelaksanaan pada 1 Disember lalu, SKSSR mencatatkan seramai 1,092 pencarum.
"Kita akan pergiatkan lagi kempen SKSSR dan saya bercadang untuk memberi taklimat kepada kesemua 222 ahli Parlimen agar mereka boleh membantu mempromosikan skim ini di kawasan masing-masing," katanya.
Beliau berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada tahun 2018 itu terbuka kepada semua golongan wanita warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun.
"Tiada had umur minimum untuk mencarum," katanya menerusi sidang akhbar pertama sebagai menteri di sini pada Isnin.
Menurutnya, suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara ‘in advance’ bagi menerima Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan selama 12 bulan.
"Pendaftaran dan pembayaran caruman adalah sangat mudah iaitu melalui portal yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya.
Sivakumar berkata, SKSSR dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) yang dikawal selia Perkeso.
"Suri rumah adalah 'care economy' dan terlibat secara langsung dalam pembangunan institusi keluarga serta secara tidak langsung membantu ekonomi negara," katanya.
Tambah beliau, suri rumah digalakkan menyertai SKSSR secara sukarela.
"Para suami juga digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri mereka manakala pihak ketiga seperti keluarga, saudara mara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibolehkan untuk mencarum bagi pihak suri rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!