Kedudukan Aliakbar tidak terjejas
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah masih didukung kerajaan yang sama semasa pembentukannya pada 2020, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik dari Pas, Dr Aliakbar Gulasan.
Justeru, beliau berkata, kedudukannya sebagai ADUN Dilantik tidak terjejas setakat ini.
"Dalam konteks Sabah, kerajaan masih lagi dibentuk pada 2020 maknanya yang didokong bersama lebih awal oleh Pas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) juga tidak kuasai Sabah.
"PH cuma nyatakan sokongan kepada parti kerajaan yang ada sekarang dan saya lihat kalaulah tiada apa-apa perubahan dari segi pentadbiran, negeri itu adalah kerajaan yang asal sejak 2020 itu yang berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukannya sebagai ADUN Dilantik berikutan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar daripada parti sekali gus menjadikan mereka bukan lagi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).
Tambahnya lagi, dari segi falsafah politiknya kerajaan itu masih yang dibentuk pada dua tahun lalu cuma komponennya sahaja berbeza.
"Dalam konteks itu dari segi falsafah politiknya, kerajaan itu masih tiada perubahan cuma komponennya berbeza, hanya berlaku peralihan.
"Dalam konteks saya ini, kalau bersandarkan pada 2020 masih kedudukan sama cuma kalau bersandarkan kepada PN, Sabah tiada PN sebenarnya sebab kita bentuk daripada awal bersama, jadi setakat ini itulah kedudukan kita di Sabah," jelas beliau.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa kepimpinan Bersatu Sabah keluar daripada parti namun kekal dalam GRS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!