Tuala wanita percuma: Beri kepada wanita tidak berkemampuan
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas tindakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk meletakkan tuala wanita percuma di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pemula.
Menurutnya, pemberian tuala untuk memerangi kemiskinan haid itu sepatutnya diberikan kepada wanita yang tidak berkemampuan untuk membelinya.
“Tapi apa pula relevannya memulakan pemberian tuala wanita percuma di tandas pejabat menteri? yang memerlukan ialah golongan wanita tidak berkemampuan, bukannya mereka yang duduk di pejabat menteri.
“Kalau menteri bagi kepada pegawai pejabat menteri yang makan gaji beri-ribu ringgit sebulan, itu salah guna kuasa. Takkan nak suruh warga berpendapatan rendah panjat ke tandas pejabat menteri?
“Ini masalahnya bila Menteri Kesihatan PH-BN dari golongan kayangan. Langsung tidak faham siapa kumpulan sasaran program bantuan untuk rakyat miskin. Apalah malang nasib negara kita dapat Menteri Kesihatan kayangan macam ni,” katanya di Facebook pada Isnin.
Pada Isnin, KKM bakal melaksanakan inisiatif tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan dalam usaha memerangi kemiskinan haid.
Menurut Dr Zaliha, sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di pejabatnya sendiri.
Bagaimanapun, Wan Saiful turut memuji tindakan dan menyokong penyediaan tuala wanita percuma sebagai usaha menangani kemiskinan haid.
Jelasnya, perkara tersebut perlu untuk dijadikan sebagai program nasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!