Perjuangan membuatkan saya lebih kuat - Wooi Yik

Wooi Yik (kiri) dan Aaron tekad bangkit buka buku baharu musim depan. -Foto: FB BAM
Wooi Yik (kiri) dan Aaron tekad bangkit buka buku baharu musim depan. -Foto: FB BAM
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Soh Wooi Yik-Aaron Chia tekad bangkit selepas mempamerkan aksi mengecewakan dalam saingan Jelajah Dunia Akhir di Thailand baru-baru ini.

Tanpa sebarang kemenangan di peringkat kumpulan, Wooi Yik menganggap perjalanannya belum berakhir, sebaliknya mahu membuka buku baharu musim hadapan.

"Langit tidak lagi biru, tetapi perjalanan dan impian saya belum berakhir. Jelas sekali ia bukan pengakhiran yang baik untuk tahun ini.

"Saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi jangkaan besar terhadap saya," tulis beliau di laman Facebook pada Ahad.

Aaron-Wooi Yik memulakan kempen di Bangkok dengan langkah kiri setelah tewas 12-21, 15-21 kepada Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, pasangan dari Indonesia yang mereka tewaskan pada final Kejohanan Dunia pada Ogos.

Pasangan itu kemudiannya tewas 21-23, 24-22, 16-21 kepada juara Terbuka Australia dari China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi sebelum kecundang 19-21, 21-23 kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Wooi Yik turut melahirkan penghargaan kepada jurulatih dan rakan sepasukan yang banyak membantunya membuat persediaan dan latihan bagi menghadapi sebarang kejohanan.

"Jurulatih dan pasukan telah membantu saya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran tetapi kadangkala perkara yang terjadi itu tidak seperti yang kita jangkakan.

Artikel Berkaitan:

“Menang dan kalah adalah sebahagian daripada permainan. Orang ramai boleh berkongsi pendapat mereka tentang permainan. Saya telah melalui banyak perkara dalam hidup tetapi semangat berjuang untuk negara tidak akan pernah berkurangan.

"Saya percaya bahawa perjuangan dan masa sukar ini adalah ujian daripada Tuhan untuk mencabar diri dan membantu saya berkembang lebih jauh. Ini bukan pengakhiran. Mahkota itu kelihatan berat, tetapi saya akan menanggung beratnya.

“Saya sentiasa berhasrat untuk membanggakan negara. Saya akan sentiasa cuba melakukan ini berulang kali dan terus mengingatkan diri bahawa saya boleh melakukannya," katanya.

Wooi Yik dan Aaron selepas ini akan mengalihkan fokus kepada kejohanan Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Januari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!