Polis kenal pasti identiti dua mayat rentung

Wan Hassan
Wan Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Polis masih menyiasat motif kejadian susulan penemuan dua mayat rentung dalam sebuah pondok pengawal di Taman Bayam Indah, Lunas pada malam Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, setakat ini siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa terbabit.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan berdasarkan laporan awal mengesahkan tiada unsur khianat.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sudah melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pondok pengawal itu berkunci dari dalam dan setakat ini, siasatan terperinci masih dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Isnin.

Wan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa lelaki berusia 30-an dan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ, manakala mangsa wanita berusia 20-an.

“Mungkin ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang tidur atau tak sedar, biarlah siasatan dilakukan terlebih dahulu.

“Mayat kedua-dua individu rentung antara 70 hingga 80 peratus menyebabkan sukar untuk dikenal pasti, hasil pemeriksaan mendapati keadaan pondok keselamatan itu agak kecil.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan juga mendapati tiada penyambungan masuk elektrik di situ dan terdapat sofa yang mungkin terbakar dalam keadaan mereka tidak sedar," katanya.

Wan Hassan berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa memecahkan pintu pondok terbabit untuk memadamkan kebakaran itu selepas menerima panggilan pada 10.56 malam.

“Anggota bomba terpaksa mengopak pintu bagi memadam kebakaran seterusnya mengeluarkan mayat terbabit.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya terdapat kemungkinan unsur jenayah, polis akan jalankan siasatan terperinci namun setakat ini kejadian terbabit disiasat bawah kes mati mengejut.

"Pasangan itu dipercayai warga tempatan, pemeriksaan DNA (asid deoksiribonukleik) akan dilakukan terlebih dahulu untuk mengesahkan identiti mangsa, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!