Annuar sahkan terima surat perlucutan keahlian UMNO

Surat pelucutan keahlian UMNO yang diterima Annuar pada Isnin.
Surat pelucutan keahlian UMNO yang diterima Annuar pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tan Sri Annuar Musa mengesahkan sudah menerima surat perlucutan keahlian UMNO daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Isnin.

Bagaimanapun, bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, surat itu tidak menyebut secara spesifik kesalahan yang dilakukan beliau.

Alhamdulillah, baru hari ini saya menerima surat makluman perlucutan keahlian UMNO.

"Surat hanya menyebut seksyen-seksyen berkaitan tanpa sebutan spesifik perbuatan atau tuduhan yang terkait dengannya," katanya menerusi kenyataan di facebook.

Menerusi hantaran itu, Annuar turut berkongsi gambar surat bertarikh 9 Disember 2022 yang diterima beliau itu bersama gambar seksyen-seksyen yang disebutkan dalam surat berkenaan.

Surat berkenaan memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Disember lalu telah memutuskan Annuar yang merupakan ahli UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa, Bahagian Ketereh dilucutkan daripada keahlian parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Perlucutan itu dibuat di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO oleh kerana tindakan Annuar yang telah melanggar etika ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 (a), (d), (e) dan (f) Perlembagaan UMNO dibaca bersama Perkara 3.1.1, 3.1.3, 3.1.5, 3.1.6, 5.3, 5.4 dan 7.1 Tataetika Ahli.

Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia bagaimanapun menegaskan beliau menerima surat itu secara berlapang dada dan akan menjawabnya dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, sehari dua lagi saya akan menjawab surat yang saya terima," ujarnya.

Pada 9 Disember lalu, Ahmad mengesahkan Annuar merupakan salah seorang daripada tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam Mesyuarat MKT.

Ia susulan kritikannya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti musuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!