Pemergian Hong Piow kehilangan besar buat negara - PM
SHAH ALAM - Pemergian pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat sektor perbankan dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut bersedih dengan pemergiannya, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
"Saya mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow atas pemergiannya pagi tadi.
"Mendiang Dr Teh adalah pengasas Public Bank yang menubuhkan bank tersebut pada tahun 1965.
"Pemergiannya ini tentunya meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank, sektor perbankan dan juga negara.
"Saya doakan keluarga mendiang Dr Teh tabah dan kuat atas kehilangannya," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Hong Piow dilaporkan meninggal dunia pada jam 10.20 pagi Isnin pada usia 92 tahun.
Beliau mengasaskan Public Bank ketika berusia 35 tahun.
Forbes 2022 baru-baru ini melaporkan, Hong Piow merupakan individu keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan AS$5.7 bilion (RM25 bilion).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!