Bajet 2023: Perhebat mohon peruntukan lebih besar
JITRA - Kerajaan perlu menimbangkan peruntukan lebih besar kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam Bajet 2023 bagi meneruskan pembangunan modal insan dan sosioekonomi bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pengarahnya, Zakariah Md Sam berkata, program dan latihan yang ditawarkan bagi melatih dan membimbing bakal pesara dan veteran tentera untuk meneruskan kehidupan selepas tamat perkhidmatan mereka.
Menurutnya, semua perbelanjaan Perhebat di bawah Kementerian Pertahanan dan beliau mengharapkan kerajaan akan memberikan tumpuan kepada perkara tersebut.
Pada Bajet 2023, kerajaan diharapkan dapat memberi pertimbangan khas kepada pembelaan bakal pesara dan veteran ATM dengan memberi peruntukan yang lebih supaya program dan latihan yang sedia ada dapat diteruskan dan diperhebatkan lagi.
"Mereka ini bakal menamatkan perkhidmatan dan seterusnya menceburi kerjaya kedua di dunia awam nanti,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang harapan Perhebat dalam Bajet 2023.
Terdahulu beliau menyertai Majlis Penyampaian Sijil Perhebat kepada 145 bakal pesara tentera dan majlis dirasmikan Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad di Jitra.
Sementara itu, Najmi berkata, kerajaan Kedah menyokong dan memberikan komitmen dalam segala inisiatif untuk melestarikan kesejahteraan hidup veteran tentera yang telah berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.
Justeru, beliau menyeru kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta agar menyediakan kuota khas peluang pekerjaan kepada veteran tentera di negeri ini.
"Saya harapkan kursus-kursus ini dapat menambahkan lagi tenaga-tenaga mahir yang kita perlukan terutama sekali di Kedah dari segi peningkatan dalam industri agak makin bertambah dengan kemasukan pelaburan dan sebagainya.
"Ini semua memerlukan kepada tenaga tenaga kerja yang akan memenuhi keperluan ini. Saya rasa angkatan tentera salah satu daripada sumber yang akan memenuhi pasaran buruh di negeri Kedah," kata beliau.
Tambahnya, melalui pelbagai kepakaran dan pengalaman mereka dalam perkhidmatan ATM pasti berupaya memberikan sumbangan besar kepada bakal majikan daripada pelbagai industri seperti pertanian, keselamatan, perkhidmatan dan juga pembuatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!