Sabah terus tuntut hak sekalipun Perlembagaan gagal
KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan terus menuntut hak-hak negeri yang sebelum ini tidak diberi perhatian, sekalipun usaha meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan gagal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bagaimanapun katanya, usaha untuk mengembalikan semula hak-hak negeri tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan semua pihak termasuk pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.
“Kegagalan pindaan itu tidak menjejaskan usaha kita untuk menuntut hak-hak Sabah daripada kerajaan persekutuan kerana hak-hak berkenaan telah termaktub dalam perlembagaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) yang ingin tahu kesan terhadap Sabah selepas kegagalan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini.
Pada masa sama, Mohd Shafie berkata usaha untuk mengambil balik hak-hak Sabah seperti menuntut 40 peratus hasil bumi tidak akan dapat direalisasikan dalam masa yang singkat kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.
Pada 9 April lepas, Dewan Rakyat gagal mendapatkan sokongan dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak ke status asalnya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hanya 138 ahli Parlimen menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 sementara 59 orang termasuk anggota Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak, tidak mengundi.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata pindaan itu sangat penting bagi memastikan perkara yang dipersetujui pemimpin terdahulu ketika pemeteraian MA63 dikembalikan semula.
“Namun kita tidak ingin menuding jari kepada mana-mana anggota Parlimen kerana mereka mempunyai hak. Sepatutnya kita dapat meminda perlembagaan berkenaan, tetapi mungkin ada beberapa perkara yang rakan-rakan kita (anggota Parlimen) hendak masukkan dalam pindaan berkenan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan dan apa yang penting kita teruskan usaha ini dan Sabah akan memberikan sokongan kepada Sarawak agar usaha ini akan menjadi kenyataan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!