Lee Tuck tak kisah main mana-mana posisi
PEMAIN naturalisasi negara, Lee Tuck bersedia untuk beraksi di mana-mana posisi menjelang sepak mula aksi persahabatan skuad Harimau Malaya menentang Maldives di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ia sama ada beraksi di bahagian sayap atau selesa di posisi tengah terserah kepada jurulatih, Kim Pan-gon.
Pemain berusia 34 tahun itu mengakui jika percaturan itu mampu membuatkan namanya 'melekat' dalam skuad kebangsaan, dia tekad memberikan yang terbaik.
Saya sudah berikan segala-galanya. Saya mahu menjadi pemain yang fleksibel. Saya gembira jika bermain sebagai pemain sayap dan atau diberi peranan di posisi tengah,” katanya.
Lee Tuck juga bertekad untuk mengerah segala kudrat buat negara terutama selepas peluangnya untuk membarisi skuad Harimau Malaya ke Piala AFF 2022 dilihat cerah selepas aksi memberangsangkan ketika berdepan Kemboja Jumaat lalu.
“Kita tidak mendapat peluang untuk bermain dengan pasukan kebangsaan pada setiap hari. Jadi saya mahu memberi sepenuh hati kepada pasukan dan penyokong,” katanya.
Keputusan Pan-gon untuk memanggil pemain kelahiran United Kingdom (UK) itu mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat terutamanya selepas hanya bermain 90 minit bersama Sri Pahang FC (SPFC) dalam kempen Piala Malaysia.
Bagaimanapun pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama ketika berdepan Kemboja itu membuktikan bisanya di depan gawang apabila meledak satu gol ketika membantu skuad negara menang 4-0.
Selain itu, Lee Tuck turut berharap rakan sepasukan dapat meneruskan rentak cemerlang ketika berdepan Maldives yang mampu menjadi tonik terbaik sebelum mengharungi kempen Piala AFF 2022.
“Keputusan positif dengan Kemboja membolehkan kami lebih bersedia untuk hadapi perlawanan selepas ini, namun segala kelemahan perlu dibaiki.
“Pemain sedia ada juga banyak membantu pemain baharu untuk segera menyesuaikan diri dengan pendekatan dimahukan dalam pasukan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!