Mayat bayi ditemukan dalam parit, pasangan kekasih ditahan

Penduduk menemukan mayat bayi perempuan dalam parit di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad.
Penduduk menemukan mayat bayi perempuan dalam parit di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita terkejut apabila menemukan satu mayat bayi perempuan dalam parit di Kampung Melayu Pandan di sini pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, wanita tempatan berusia 33 tahun itu memaklumkan kepada pihak polis berhubung penemuan mayat bayi tersebut pada jam 11.50 pagi Ahad.

Pada masa sama katanya, pihak polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi 39 saat berkenaan penemuan mayat bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan.

'Bertindak atas maklumat, pada jam 1 hingga 1.30 petang semalam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan terhadap sepasang kekasih.

"Polis menahan lelaki berusia 28 tahun dan wanita terbabit yang berusia 27 tahun di kawasan Kampung Melayu Pandan. Mereka bekerja sebagai operator kilang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya merampas sehelai t-shirt ungu dan sehelai kain sarung warna hijau yang mempunyai kesan tompokan disyaki darah selain dua telefon bimbit dan 42 biji pil melibatkan empat jenis ubat.

Mohd Roslan memberitahu, pihaknya masih menyiasat punca kematian selain mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai hari ini sehingga 15 Disember," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!