Budak tiga tahun dikhuatiri lemas terjatuh dalam tali air

Ibu mangsa, Nurul Ain Bakri (tiga dari kiri) masih terkejut dan terpaksa dipapah di lokasi kejadian. Gambar kecil: Muhammad Sufi Eijas
Ibu mangsa, Nurul Ain Bakri (tiga dari kiri) masih terkejut dan terpaksa dipapah di lokasi kejadian. Gambar kecil: Muhammad Sufi Eijas
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dari jambatan di tali air dalam kejadian di Kampung Kebor Besar, Manir di sini pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, Mangsa Muhammad Sufi Eijas Mohd Sobrey, 3, berada di lokasi berkenaan bersama bapanya, Mohd Sobrey Ramli, 32, dan dua lagi adik beradiknya, Syakir Wafiuddin, 8, dan Shafiq Arshad berusia setahun.

Mohd Sobrey berkata, sebaik tiba di situ Muhammad Sufi Eijas bersama abangnya terus meluru untuk bermain sambil melihat kanak-kanak lain mandi-manda di kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian itu disedari sebaik dimaklumkan anak sulungnya yang ketika itu menyedari adiknya hilang dari pandangan.

"Tak sampai lima saat selepas anak sulung saya melaung memberitahu adiknya hilang, saya terus terjun ke tali air.

"Malangnya arus di bawah air terlalu deras. Saya terpaksa naik ke permukaan air sebelum memaklumkan kejadian kepada isteri, Nurul Ain Bakri, 33," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Sobrey, sebelum kejadian dia baru pulang dari mengambil anaknya di Kampung Baru Tetambah di sini dan membawa mereka bersiar-siar di kawasan itu sementara menunggu untuk menghantar ke kelas mengaji jam 5 petang.

Sementara itu, Komander Operasi, Mohd Mazimi Mohamad berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.28 petang oleh keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, anggota dan logistik dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

"Operasi pencarian pada petang ini dilakukan hampir dua jam dengan empat kali selaman termasuk pencarian di kawasan sekitar dengan dibantu agensi lain serta penduduk kampung.

"Setakat ini kita belum terima sebarang petanda positif untuk menemui mangsa dan usaha pencarian pada malam ini akan diteruskan sehingga esok," katanya.

Menurut beliau, keadaan arus deras di kawasan itu antara kesukaran dalam usaha mencari mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!